Monday, November 10, 2008

Wayang kita

Assalamualaikum,

Kadang-kadang teringin juga melihat filem tempatan yang betul-betul mampu menarik aku ke panggung. Tapi yalah aku bukanlah peminat wayang tahap mesti pergi tengok tapi macam teringin juga untuk melihat filem-filem kita kembali segemilang filem-filem Tan Sri P. Ramlee. Dan kalaulah industri filem kita mampu menarik aku ke panggung atau paling tidak boleh menyebabkan aku sanggup membeli VCD/ DVD tempatan, itu sudah menjadi petanda baik bagi industri filem kita.
Wayang kita masih macam tu juga.

Emm... Ya lah, kenapa wayang kita masih tidak boleh pergi jauh. Ada yang dapat pergi jauh pun ciput ja jumlahnya. Teringin juga melihat filem kita macam filem Korea, boleh jual dipasaran antarabangsa.

Persoalan kenapa wayang kita tidak segagah filem dulu-dulu. Atau sudah beralihkah tumpuan filem kita hanya semata-mata kerana RM. Betul juga kan, kalau tidak untung buat apa buat filem. Entahlah, asyik-asyik filem 'sekali tonton' ja boleh dibuat macam produk habis guna. Mengkomersialkan Filem Seni kah kita terkurang atau Seni Mengkomersialkan filem kita tidak ada.

Aku.. saja-saja menulis dalam blog ini, Ya lah tidak pernah kena jemput wawancara di TV. Jadi aku pun berangan-angan kononnya jadi penganalisis filem walaupun sebenarnya tidak layak, peduli apa, tiada pun siapa yang kisah. Kan ini dunia Digital. Tulis sajalah, orang baca atau tidak, terpulanglah. Paling tidak aku dapat jua mencatatkan satu pemikiran kasar ini yang mungkin berguna untuk aku suatu hari nanti. Diari digitallah katakan

Cuba kita lihat faktor-faktor berikut manalah tau ada yang boleh difikir semula.

Jalan cerita. Kebanyakkan jalan cerita filem kita agak biasa dan boleh dijangka. Ibarat ala kadar ja. Tapi ada juga yang menarik tapi tidak boleh buat sales yang cukup. Rugi.

Pasaran kita. Rasanya kapasiti pasaran filem kita dalam negara ini berlegar-legar dalam sekitar 300 ribu penonton maksudnya kalau ada yang box office pun, ditolak ditambah sesebuah filem akan hanya boleh buat jualan sekitar RM 2.5 juta. Jika ada yang buat dengan separuh kos bolehlah jadi jutaan.

Tapi persoalannya bagaimanakah kita ingin membesarkan ruang pasaran domestik bagi filem kita? Kebanyakkan sasaran pasaran lebih tertumpu kepada kelompok remaja Melayu, maksudnya pelanggan tetap filem kita sekarang hanya bermain sekitar kelompok ini. Dan mungkin, kalau kita dapat menarik penonton dari kalangan orang dewasa dan kanak-kanak dalam kelompok Melayu Bumiputera mungkin kita boleh mengembangkan pasaran sebanyak 30 peratus lagi menjadi 400 ratus ribu penonton iaitu dengan anggaran 100 ribu penambahan.

Ditambah lagi dengan pasaran remaja Bukan Bumiputera sekurangnya separuh dari anggaran jumlah keseluruhan iaitu sekitar 150 ribu. Jadi sekarang telah menjadi 550 ribu anggaran penonton. Kalau dapat lagi 10 peratus dari kalangan bukan bumiputera dewasa, warga tua dan kanak-kanak maksudnya kira-kira 30 ribu. 580 ribu dapat dikumpul iaitu pada anggaran RM4.6 juta nilai pasarannya.

RM 4.6 juta itulah anggaran pengiraan agak-agak saja yang boleh kita tingkat nilai pasaran domestik kita, so kalau dapat buat filem dengan anggaran kos 3 juta, masih boleh untuk buat untung juta.

Jadi bagaimana lagi untuk meningkatkan had anggaran maksima 4.6 juta, satu caranya mungkin dengan cara menghasilkan filem dengan kemampuan penonton berulang maksudnya menonton wayang di panggung lebih dari sekali. Kalau 10 peratus, jadi kita boleh tambah kepada lebih kurang RM460 ribu ringgit so sekarang jadi RM5.06 juta.

Itu jualan dalam panggung. Target kedua pula ialah penjualan DVD atau VCD pada harga 10 ringgit. Kalau dapat buat jualan 5 peratus dari jumlah penonton anggaran boleh dapat lagi 290 ribu ringgit. Jadi jumlah jualan mungkin mencecah RM 5.35 juta. Sudah banyak tu. Jadi, dengan anggaran mengikut kapasiti ini, kita boleh buat filem dengan kos RM 4 juta. Jadi tentunya kita boleh menghasilkan filem yang lebih baik dari segi kualitinya.

Anggaran ini tidak termasuk pasaran untuk tayangan Astro dan Tv dan melibatkan penajaan iklan dari pihak swasta di negara kita. Lagi, eksport filem ke luar negara seperti pasaran Indonesia ataupun seluruh nusantaralah kiranya. Kalau di Indonesia saja anda boleh bayangkan saja la berapa besar pasaran filemnya. Itu belum lagi pasaran Hong Kong dan China dan India.

Jadi elemen yang perlu di buat ialah :

Bagaimana menghasilkan filem tempatan yang boleh mengintegrasikan kepenglibatan artis Melayu, Cina, India, serta bumiputera Sabah Sarawak. Bagaimanakah kandungan filem itu agar ia memuatkan elemen kepelbagaian budaya dan nilai tanpa menyentuh mana-mana sentimen keagamaan dan kaum.

Menurut saya, tidak salah menghasilkan artis berketurunan Cina, India maupun Bumi putra Sabah Sarawak kalau kita ingin melihat ruang pasaran kita bertambah luas. Hero dan heroin boleh ramai macam filem Mohabatein tapi akhir sekali mesti ada satu 'ending' yang memperlihatkan kita semua berjaya dalam kepelbagaian. Ya mungkin R&D kita masih tahap sekolah rendah sebab tu sampai sekarang masih belum mendapat Formulanya.

Ok. Elemen keibuan, kehormatan budaya dan semangat kesungguhan rakyat Malaysia boleh ditengok dan difikirkan caranya.Tapi elemen keagamaan harus diletak dalam konteks secara benar mengikut ilmu dan mungkin elemen ini tidak begitu sesuai dalam konteks seperti percintaan antara watak yang berlainan agama. Jadi untuk menyelesaikan ini, aspek perkongsian nilai-nilai baik antara agama boleh diketengahkan iaitu meletakkan konteks percintaan pada kebiasaanya dan mengangkat hubungan antara manusia dalam konteks kebersamaan dan cara hidup kita di Malaysia ini sebagai intipati filem tersebut.

Kelemahan lain.

Ya, antara kelemahan yang perlu diperbaiki dalam filem kita ialah dalam aspek Bunyi terutamanya alunan irama yang mempunyai sentuhan terus kepada hati. Jadi pra karyawan seni suara perlu terlibat secara total untuk meningkatkan lagi filem kita ke satu tangga yang lebih tinggi. Kalau perlu miming pun, miminglah asalkan kualiti dan seni suara itu tidak terjejas, Tapi kalau dapat pelakon serba boleh lagi baik.

Tempoh masa untuk sesuatu Scene perlu dikaji supaya setiap scene akan sentiasa membuatkan penonton lebih tertunggu-tunggu ataupun menconggak-conggak apa bakal berlaku ini mewujudkan rasa teruja. Jika penonton sudah dapat menjangka dan membaca scene tersebut lebih awal, sudah tentu scenerio kebosanan mula menjelma. Sebagai contoh, kenapa perlu mengambil scene pesakit di atas katil bersaat-saat lamanya kadang-kadang sampai 2, 3 minit sedangkan mesejnya hanya menggambarkan bahawa watak itu sakit. Justeru, Ini memerlukan pengarah lebih bijak supaya sesuatu babak itu dapat memberi impak, walaupun hanya satu saat.

Dan lagi, kelajuan pertuturan tidak boleh terlalu longlai dan tidak perlu laju, dalam konteks ini kelajuan pertuturan yang sesuai dengan kelajuan penerimaan purata penonton, kena rujuk pakar psikologi. Bukan saja sukan kena ada pakar psikologi, filem pun patut ada. Entahlah .. aku rasa macam ada yang kureng dalam 'speed' pertuturan ini ataupun kurangnya penghayatan dan gerak tubuh atau memek muka yang tidak terhayati oleh pelakon. Aku pun kurang pasti.

Apakah yang boleh mewujudkan mood penonton berulang terhadap sesuatu filem. Antara yang boleh dikenal pasti ialah keindahan lagu-lagu, babak-babak lucu dan elemen spontan serta mesej khusus dalam filem tersebut.

Elemen gabungan mood.

Kadang-kadang kita masih tidak begitu berjaya menggabungkan elemen-elemen perasaan, nafsu, jasad dan ilmu secara berimbang. Dan kebanyakkan filem terkini terlalu mengikut suatu-suatu genre filem semata-mata tanpa menitikberatkan soal-soal percampuran elemen tadi. Kalau filem hantu mesti dari awal sampai akhir menyeramkan. ataupun kalau filem cinta mesti cintan habis, tapi ada satu elemen juga perlu dimasukkan iaitu elemen pemujukkan agar kandungan tersebut lebih bertanggungjawab iaitu pada akhirnya filem itu akan membawa penonton ketahap mana. Ini lah pengabungan elemen yang saya maksudkan. Mengambil pengajaran, sedar, gembira. dan lain-lain. Paling tidak ianya dapat mewujudkan stress free filem. Mungkin itulah yang diinginkan dari sesebuah filem. Filem Sebagai Ubat. Bukankah nampak lebih maju.

Setiap cerita haruslah mempunyai kesinambungan bak kata saya, biarlah seperti se dari menanam benih hinggalah musim penuaian hasilnya.

Sikit lagi. Pelakon.

Kalau boleh artis yang selalu jadi hero dan heroin kita bagi watak sokongan agar tidak selalu jadi hero yang kadang-kadang turut menjadi faktor yang membosankan apatah lagi macam tiada lagi artis yang boleh diketengahkan. Bagilah watak sokongan tu lebih mantap supaya keberkesanan watak lebih jelas. Hero. Biasalah, kerja mudah.

Tu lah sedikit-sebanyak yang aku ingin coretkan, tapi sebenarnya banyak lagi mau tambah, tapi kata orang sikit-sikit cukuplah. Nanti bukan saja orang mungkin boring membacanya, nanti aku sendiripun malas melihatnya.

Wassalam.

Majulah Filem Sebagai Penjana Modal Insan Negara kita.

No comments: