Thursday, November 27, 2008

Obama pandai berbahasa Melayu?

"Apa khabar bapak Presiden"

Apa yang menariknya ialah patah perkataan tersebut diucapkan oleh bakal Presiden Amerika, Obama dengan lancar kepada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono ketika Susilo menghubungi Obama melalui telefon.

Obama yang akan mengangkat sumpah sebagai Presiden As yang ke-44 pada 20 Januari depan pernah menghabiskan masa selama empat tahun tinggal di Indonesia setelah ibunya berkahwin dengan warga Indonesia, Lolo Soetoro. Pengalaman inilah membolehkan Obama boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengenali budaya tempatan masyarakat nusantara.

Soalnya apakaitannya Obama dengan Bahasa Melayu?

1. Paling tidak sebaris kata tersebut telah memberikan satu presepsi bahawa hubungan Amerika dan Indonesia bakal akan terjalin dengan lebih erat. Justeru memberi impak positif kepada ekonomi Indonesia.

2. Bila ekonomi Indonesia akan meningkat apa pula kesannya kepada kita di Malaysia?
Pastinya tenaga kerja Indonesia akan mula kembali ke tanah air mereka sendiri untuk merebut peluang yang wujud. Jadi kita akan berhadapan dengan kekurangan tenaga terutamanya tenaga buruh kasar dalam bidang pembinaan dan perladangan. Ketika itu tentunya kos buruh turut akan meningkat. Ini bakal memberi implikasi kepada pembangunan negara kita jika kita masih alpa tentang cabaran masa depan yang bakal menjelma.

3. Apabila Ekonomi Indonesia meningkat juga pastinya kuasa beli rakyat mereka juga meningkat, ini bakal mewujudkan satu lagi kuasa pasaran baru selain China dan India. Pengembangan ekonomi dengan kuasa pasaran yang cukup kuat pasti akan membawa Bahasa Indonesia atau secara nusantaranya Bahasa Melayu ke satu martabat yang lebih tinggi. Dan ketika itu bahasa Melayu mampu wujud sebagai bahasa ilmu. Nah, ini menuntut kita untuk mengembangbiakkan kebolehan Bahasa Melayu ke satu tahap yang mana ia mempunyai daya saing yang tersendiri.

Jadi, pendebat-pendebat dan penghujah-penghujah Isu Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris harus mengambil iktibar kisah Obama yang boleh berbahasa Melayu ini agar tidak terus meremehkan penggunaan Bahasa Melayu ataupun Bahasa Inggeris sebagai bahasa perhubungan dan pemasaran dunia malah sebagai bahasa ilmu.

Akhirnya, jawapan yang pasti ialah rakyat kita harus menguasai kedua bahasa ini sebagai bahasa utama malah kalau boleh semua rakyat Malaysia mampu berbahasa Cina dan Tamil.

Kalau ini terjadi, maka jadilah kita sebuah negara maju yang mempunyai jaringan ekonomi yang mantap berasaskan kekuatan bahasa. Matematiknya, bahasa bukan saja melambangkan jiwa dan bangsa tetapi bahasa itu juga mampu menjadi salah satu elemen penting sebagai penjana baru ekonomi negara.

No comments: