Thursday, November 27, 2008

Obama pandai berbahasa Melayu?

"Apa khabar bapak Presiden"

Apa yang menariknya ialah patah perkataan tersebut diucapkan oleh bakal Presiden Amerika, Obama dengan lancar kepada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono ketika Susilo menghubungi Obama melalui telefon.

Obama yang akan mengangkat sumpah sebagai Presiden As yang ke-44 pada 20 Januari depan pernah menghabiskan masa selama empat tahun tinggal di Indonesia setelah ibunya berkahwin dengan warga Indonesia, Lolo Soetoro. Pengalaman inilah membolehkan Obama boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengenali budaya tempatan masyarakat nusantara.

Soalnya apakaitannya Obama dengan Bahasa Melayu?

1. Paling tidak sebaris kata tersebut telah memberikan satu presepsi bahawa hubungan Amerika dan Indonesia bakal akan terjalin dengan lebih erat. Justeru memberi impak positif kepada ekonomi Indonesia.

2. Bila ekonomi Indonesia akan meningkat apa pula kesannya kepada kita di Malaysia?
Pastinya tenaga kerja Indonesia akan mula kembali ke tanah air mereka sendiri untuk merebut peluang yang wujud. Jadi kita akan berhadapan dengan kekurangan tenaga terutamanya tenaga buruh kasar dalam bidang pembinaan dan perladangan. Ketika itu tentunya kos buruh turut akan meningkat. Ini bakal memberi implikasi kepada pembangunan negara kita jika kita masih alpa tentang cabaran masa depan yang bakal menjelma.

3. Apabila Ekonomi Indonesia meningkat juga pastinya kuasa beli rakyat mereka juga meningkat, ini bakal mewujudkan satu lagi kuasa pasaran baru selain China dan India. Pengembangan ekonomi dengan kuasa pasaran yang cukup kuat pasti akan membawa Bahasa Indonesia atau secara nusantaranya Bahasa Melayu ke satu martabat yang lebih tinggi. Dan ketika itu bahasa Melayu mampu wujud sebagai bahasa ilmu. Nah, ini menuntut kita untuk mengembangbiakkan kebolehan Bahasa Melayu ke satu tahap yang mana ia mempunyai daya saing yang tersendiri.

Jadi, pendebat-pendebat dan penghujah-penghujah Isu Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris harus mengambil iktibar kisah Obama yang boleh berbahasa Melayu ini agar tidak terus meremehkan penggunaan Bahasa Melayu ataupun Bahasa Inggeris sebagai bahasa perhubungan dan pemasaran dunia malah sebagai bahasa ilmu.

Akhirnya, jawapan yang pasti ialah rakyat kita harus menguasai kedua bahasa ini sebagai bahasa utama malah kalau boleh semua rakyat Malaysia mampu berbahasa Cina dan Tamil.

Kalau ini terjadi, maka jadilah kita sebuah negara maju yang mempunyai jaringan ekonomi yang mantap berasaskan kekuatan bahasa. Matematiknya, bahasa bukan saja melambangkan jiwa dan bangsa tetapi bahasa itu juga mampu menjadi salah satu elemen penting sebagai penjana baru ekonomi negara.

Monday, November 24, 2008

Mampukah Pensiangan menjadi tsunami politik?

Terdetik jua dihati, apa bakal berlaku pada pilihanraya kecil Parlimen Pensiangan.

Berita semasa menunjukkan arus maklumat dan presepsi mulai surut tatkala membicangkan soal politik. Berita Pensiangan pun agak tidak begitu kelihatan didada-dada akhbar ataupun di kaca TV. Adakah keaadaan surut ini merupakan satu petanda bahawa satu tsunami politik akan datang melanda.

Media semasa lebih didominasi presepsi tentang rasuah dalam UMNO. Dan nampak gayanya orang UMNO kena menerima hakikat bahawa mereka telah menjadi sasaran bagi politikus-politikus kecewa dan juga menjadi bahan analisis para akademik serta menjadi bual bicara minda-minda kecil penulis Blog.

Perasuah Politik dalam UMNO bukanlah ahli UMNO tapi musuh UMNO. Tapi Empayar Politikus Rasuah telah hampir mendominasi UMNO.

Berbalik kepada Pilihanraya Pensiangan. Apa relevannya membicarakan soal Pensiangan. Apakah kesannya Pensiangan kepada arus politik negara?

Mungkin Pilihanraya DUN Sarawak akan berlaku pada pertengahan tahun hadapan ada kaitannya. Mau-tidak-mahu Pensiangan mesti diambil berat.

Realiti Pensiangan ialah kawasan ini adalah kawasan pedalaman kategori luar bandar yang mana soal pembangunan bukanlah satu aspek yang boleh dibanggakan. Kalau Tsunami Politik Mac 2008 berlatarbelakangkan pengundi muda, isu urbanisasi ataupun kisah orang bandar, tentunya Pensiangan adalah sebaliknya. Dan berbicara tentang Sarawak tentunya banyak kawasan berkongsi kategori dengan Pensiangan. Tentu ternampak relevannya Pensiangan. Sentimen orang kampung.

Ada juga kedengaran cakap-cakap mengatakan akan ada ramai calon bebas akan bertanding di Parlimen Pensiangan dengan tujuan memecahkan undi. Apakah ini akan terjadi? Adakah ini satu tindakan bijak? Kalau ini benar, kesian sekali orang Pensiangan. Mereka bakal dipermainkan lagi oleh orang politik. Strategi politiklah katakan.

Dan lagi....

Akan berduyun-duyunkah orang luar berkampung di Pensiangan?. Satu scenario yang cukup menarik untuk ditunggu.

Apa-apapun, orang Pensiangan kena bijak kali ini. Mudah-mudahan Pensiangan menjadi terkenal. Paling tidak pengusaha Produk pelancongan harus bersedia untuk dikenali dan membuat persiapan untuk menerima publisiti yang amat bernilai.

Kepada pengusaha bot, peniaga makanan, penyedia kemudahan pengangkutan, pengusaha-pengusaha kraftangan, bersedialah untuk menuai laba secara halal. Jangan lepaskan peluang ini rebutlah sedikit tumpahan ekonomi yang datang kepada anda semua sebagai satu rahmat yang mungkin hanya datang sekali ini saja.

Penduduk-penduduk sekitar pekan Sook dan Nabawan, hiasilah rumah-rumah anda dan lekatkanlah Papan Tanda " Home Stay : RM50 satu malam ". Mudah-mudahan anda akan terbiasa menjadi penyedia perkhidmatan ini.

Ketua-ketua Kampung dan Pengerusi JKK serta ketua-ketua cawangan parti politik, masing-masing senaraikanlah 100 permintaan dan projek dari sekarang. Binalah Pensiangan.

Akhir sekali, pesanan saya kepada orang Pensiangan, jangan jadi hamba Perasuah tapi mintalah pembangunan sebanyak mana kamu rasa ahli politik telah terhutang kepada kamu.

Tuesday, November 18, 2008

Kisah 'Yes No' Sains dan Matematik

Salam Sejahtera,

Isu pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris telah menjadi bual bicara kebelakangan ini.

Adakah perlu diteruskan ataupun diberhentikan saja?

Saya ingin mengambil jalan tengah, sebab semakin kita berdebat semakin banyak krisis ditimbulkan.

Apapun harapan saya, sebelum sesuatu keputusan dibuat, perkara berikut harus diambil kira.

1. Apakah bahasa yang paling banyak digunakan dalam penulisan Ilmu teknikal?
2. Apakah bahasa yang paling banyak digunakan oleh rakyat kita?
3. Apakah bahasa pemasaran yang paling kerap dan banyak digunakan di dunia?
4. Apakah bahasa perhubungan dan komunikasi yang paling banyak digunakan didunia?
5. Apakah bahasa yang paling mahir kita miliki?
6. Apakah bahasa yang paling banyak perbendaharaan didunia?
7. Benarkah bahasa jiwa bangsa?
8. Benarkah penggunaan bahasa selain bahasa melayu akan memandulkan bahasa melayu itu sendiri?
9. Hilangkankah nasionalis kita jika kita berbahasa asing?
10. Sejauh manakah pertambahan kosa kata bahasa kita?
11. Telah majukah Dewan Bahasa dan Pustaka?
12. Berapa ramai penterjemah yang kita ada?
13. Berapa ramai guru bahasa yang kita ada?
......

dan banyak lagi....

Akhir sekali, kenapa Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab?

Anak-anak ibarat kain putih, diwarnai merah, merah lah ia, diwarnai jingga, jingga lah ia.

Apa-apa pun keputusan tentang penggunaan bahasa dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, semuanya terpulang dengan hasrat kita. Jika kita serius melaksanakannya, apa jua warna yang ingin kita lakarkan pada kain putih, itulah juga yang akan terwarna.

Tanya ilmu bukan tanya nafsu. Tanya Orang Akademik bukan Pak Politik.

:)

Friday, November 14, 2008

Padamar Seri dan Kampung Jin Beranak


Klik imej untuk membesarkannya.

Ini Lah Kampung aku yang indah dan cukup menarik lagi menawan. Kg. Jabang, setengah jam perjalanan dari pekan Beaufort.

Ada serorang YB memanggil kampung aku Kampung tempat Jin Beranak sebab katanya kampung kami agak terpencil dalam hutan. Walauapapun kampung aku adalah kampung yang teramat indah bagi aku. Korang, orang bandar mesti jeleskan.

Sekitar kampung aku ada Luagan @ tasik Pandaililin, ada Pulau Padamar dan Pantai Sungai Air Tawar. Cukup Cantik.

Rumput di pantai tersebut cukup indah, nama pantai tersebut dipanggil 'Seberang'. Di situlah tempat aku bermandi manda bersama anak-anak dan anak buah. Dan kalau ada kesempatan balik kampung, projek biasa sebelah petang aku ialah mengumpul serpihan kayu yang hanyut berserta sampah-sampah yang tertinggal semasa air bah untuk dibakar supaya 'Seberang' aku sentiasa bersih dan indah. Di situlah juga 'Padang Golf' aku suatu ketika dulu. Beli bola second hand dan aku pukul merentasi Sungai Padas atau pun sepanjang pantai 'seberang'.

Pulau Padamar, satu-satunya pulau di Sungai Padas yang menjadi impian aku. Tapi ianya hanya menjadi tinggal impian sebab pulau itu sudah menjadi milik orang. Bagi aku Padamar adalah impian. Sebab tu guna nickname Padamar Seri, bermaksud Impian Seri. Di Pulau tersebut ada Bayau. Dan semasa zaman paling indah ketika masih kecil dulu, pulau itu adalah pulau kunjungan tetap aku dan kawan-kawan untuk bermain tembak-tembak dan sembunyi-sembunyi, berenang untuk menyeberang ke pulau tersebut adalah sesuatu yang biasa. Aku anak kampung, mestilah hidup sebagai perenang.

Luagan Pandaililin, sebelum digali parit besar menghubungkannya dengan Sungai Padas, merupakan tasik yang cukup jernih dan mewah dengan ikan. Namun sekarang agak berkurangan kerana air 'milo'@ air kabut telah melanda Sungai Padas turut me'milo'kan pandaililin. Itulah dosa terbesar pembalak-balak di ulu Sungai Padas terhadap penduduk kampung aku. Sungai yang dulunya selalu jernih tapi kini selalu kabut. Sudahlah tiada air paip, air sungai kami pula di'jahanam'kan.

Ada satu yang paling menarik sekitar kampung aku untuk pemancing-pemancing udang galah dan peminat kelip-kelip, satu kawasan dinamakan Sungai Nabahan mampu menawarkan kegembiraan kepada anda. Tapi untuk memancing udang galah mestilah ketika musim kemarau supaya air sungai jernih dan air sungai sedang mula pasang atau mula surut, hasil tangkapan mungkin agak cukup mengembirakan hati pemancing. Kalau ada yang ingin 'try' boleh lah cari aku nanti. Melanconglah ke kampung aku.

Kalau projek menggali dan membersihkah Parit Tiga Ringgit telah dilaksanakan, aku boleh bawa anda memancing ikan karuk. besar-besar saiznya. Seronok. Melalui Parit Tiga ringgit kita boleh sampai ke Weston dalam masa 15 minit sahaja dan ke Sungai Nabahan sekitar 5 minit kalau bertolak dari kampung aku.

Tu lah sedikit sebanyak tentang Padamar Seri.




Monday, November 10, 2008

Wayang kita

Assalamualaikum,

Kadang-kadang teringin juga melihat filem tempatan yang betul-betul mampu menarik aku ke panggung. Tapi yalah aku bukanlah peminat wayang tahap mesti pergi tengok tapi macam teringin juga untuk melihat filem-filem kita kembali segemilang filem-filem Tan Sri P. Ramlee. Dan kalaulah industri filem kita mampu menarik aku ke panggung atau paling tidak boleh menyebabkan aku sanggup membeli VCD/ DVD tempatan, itu sudah menjadi petanda baik bagi industri filem kita.
Wayang kita masih macam tu juga.

Emm... Ya lah, kenapa wayang kita masih tidak boleh pergi jauh. Ada yang dapat pergi jauh pun ciput ja jumlahnya. Teringin juga melihat filem kita macam filem Korea, boleh jual dipasaran antarabangsa.

Persoalan kenapa wayang kita tidak segagah filem dulu-dulu. Atau sudah beralihkah tumpuan filem kita hanya semata-mata kerana RM. Betul juga kan, kalau tidak untung buat apa buat filem. Entahlah, asyik-asyik filem 'sekali tonton' ja boleh dibuat macam produk habis guna. Mengkomersialkan Filem Seni kah kita terkurang atau Seni Mengkomersialkan filem kita tidak ada.

Aku.. saja-saja menulis dalam blog ini, Ya lah tidak pernah kena jemput wawancara di TV. Jadi aku pun berangan-angan kononnya jadi penganalisis filem walaupun sebenarnya tidak layak, peduli apa, tiada pun siapa yang kisah. Kan ini dunia Digital. Tulis sajalah, orang baca atau tidak, terpulanglah. Paling tidak aku dapat jua mencatatkan satu pemikiran kasar ini yang mungkin berguna untuk aku suatu hari nanti. Diari digitallah katakan

Cuba kita lihat faktor-faktor berikut manalah tau ada yang boleh difikir semula.

Jalan cerita. Kebanyakkan jalan cerita filem kita agak biasa dan boleh dijangka. Ibarat ala kadar ja. Tapi ada juga yang menarik tapi tidak boleh buat sales yang cukup. Rugi.

Pasaran kita. Rasanya kapasiti pasaran filem kita dalam negara ini berlegar-legar dalam sekitar 300 ribu penonton maksudnya kalau ada yang box office pun, ditolak ditambah sesebuah filem akan hanya boleh buat jualan sekitar RM 2.5 juta. Jika ada yang buat dengan separuh kos bolehlah jadi jutaan.

Tapi persoalannya bagaimanakah kita ingin membesarkan ruang pasaran domestik bagi filem kita? Kebanyakkan sasaran pasaran lebih tertumpu kepada kelompok remaja Melayu, maksudnya pelanggan tetap filem kita sekarang hanya bermain sekitar kelompok ini. Dan mungkin, kalau kita dapat menarik penonton dari kalangan orang dewasa dan kanak-kanak dalam kelompok Melayu Bumiputera mungkin kita boleh mengembangkan pasaran sebanyak 30 peratus lagi menjadi 400 ratus ribu penonton iaitu dengan anggaran 100 ribu penambahan.

Ditambah lagi dengan pasaran remaja Bukan Bumiputera sekurangnya separuh dari anggaran jumlah keseluruhan iaitu sekitar 150 ribu. Jadi sekarang telah menjadi 550 ribu anggaran penonton. Kalau dapat lagi 10 peratus dari kalangan bukan bumiputera dewasa, warga tua dan kanak-kanak maksudnya kira-kira 30 ribu. 580 ribu dapat dikumpul iaitu pada anggaran RM4.6 juta nilai pasarannya.

RM 4.6 juta itulah anggaran pengiraan agak-agak saja yang boleh kita tingkat nilai pasaran domestik kita, so kalau dapat buat filem dengan anggaran kos 3 juta, masih boleh untuk buat untung juta.

Jadi bagaimana lagi untuk meningkatkan had anggaran maksima 4.6 juta, satu caranya mungkin dengan cara menghasilkan filem dengan kemampuan penonton berulang maksudnya menonton wayang di panggung lebih dari sekali. Kalau 10 peratus, jadi kita boleh tambah kepada lebih kurang RM460 ribu ringgit so sekarang jadi RM5.06 juta.

Itu jualan dalam panggung. Target kedua pula ialah penjualan DVD atau VCD pada harga 10 ringgit. Kalau dapat buat jualan 5 peratus dari jumlah penonton anggaran boleh dapat lagi 290 ribu ringgit. Jadi jumlah jualan mungkin mencecah RM 5.35 juta. Sudah banyak tu. Jadi, dengan anggaran mengikut kapasiti ini, kita boleh buat filem dengan kos RM 4 juta. Jadi tentunya kita boleh menghasilkan filem yang lebih baik dari segi kualitinya.

Anggaran ini tidak termasuk pasaran untuk tayangan Astro dan Tv dan melibatkan penajaan iklan dari pihak swasta di negara kita. Lagi, eksport filem ke luar negara seperti pasaran Indonesia ataupun seluruh nusantaralah kiranya. Kalau di Indonesia saja anda boleh bayangkan saja la berapa besar pasaran filemnya. Itu belum lagi pasaran Hong Kong dan China dan India.

Jadi elemen yang perlu di buat ialah :

Bagaimana menghasilkan filem tempatan yang boleh mengintegrasikan kepenglibatan artis Melayu, Cina, India, serta bumiputera Sabah Sarawak. Bagaimanakah kandungan filem itu agar ia memuatkan elemen kepelbagaian budaya dan nilai tanpa menyentuh mana-mana sentimen keagamaan dan kaum.

Menurut saya, tidak salah menghasilkan artis berketurunan Cina, India maupun Bumi putra Sabah Sarawak kalau kita ingin melihat ruang pasaran kita bertambah luas. Hero dan heroin boleh ramai macam filem Mohabatein tapi akhir sekali mesti ada satu 'ending' yang memperlihatkan kita semua berjaya dalam kepelbagaian. Ya mungkin R&D kita masih tahap sekolah rendah sebab tu sampai sekarang masih belum mendapat Formulanya.

Ok. Elemen keibuan, kehormatan budaya dan semangat kesungguhan rakyat Malaysia boleh ditengok dan difikirkan caranya.Tapi elemen keagamaan harus diletak dalam konteks secara benar mengikut ilmu dan mungkin elemen ini tidak begitu sesuai dalam konteks seperti percintaan antara watak yang berlainan agama. Jadi untuk menyelesaikan ini, aspek perkongsian nilai-nilai baik antara agama boleh diketengahkan iaitu meletakkan konteks percintaan pada kebiasaanya dan mengangkat hubungan antara manusia dalam konteks kebersamaan dan cara hidup kita di Malaysia ini sebagai intipati filem tersebut.

Kelemahan lain.

Ya, antara kelemahan yang perlu diperbaiki dalam filem kita ialah dalam aspek Bunyi terutamanya alunan irama yang mempunyai sentuhan terus kepada hati. Jadi pra karyawan seni suara perlu terlibat secara total untuk meningkatkan lagi filem kita ke satu tangga yang lebih tinggi. Kalau perlu miming pun, miminglah asalkan kualiti dan seni suara itu tidak terjejas, Tapi kalau dapat pelakon serba boleh lagi baik.

Tempoh masa untuk sesuatu Scene perlu dikaji supaya setiap scene akan sentiasa membuatkan penonton lebih tertunggu-tunggu ataupun menconggak-conggak apa bakal berlaku ini mewujudkan rasa teruja. Jika penonton sudah dapat menjangka dan membaca scene tersebut lebih awal, sudah tentu scenerio kebosanan mula menjelma. Sebagai contoh, kenapa perlu mengambil scene pesakit di atas katil bersaat-saat lamanya kadang-kadang sampai 2, 3 minit sedangkan mesejnya hanya menggambarkan bahawa watak itu sakit. Justeru, Ini memerlukan pengarah lebih bijak supaya sesuatu babak itu dapat memberi impak, walaupun hanya satu saat.

Dan lagi, kelajuan pertuturan tidak boleh terlalu longlai dan tidak perlu laju, dalam konteks ini kelajuan pertuturan yang sesuai dengan kelajuan penerimaan purata penonton, kena rujuk pakar psikologi. Bukan saja sukan kena ada pakar psikologi, filem pun patut ada. Entahlah .. aku rasa macam ada yang kureng dalam 'speed' pertuturan ini ataupun kurangnya penghayatan dan gerak tubuh atau memek muka yang tidak terhayati oleh pelakon. Aku pun kurang pasti.

Apakah yang boleh mewujudkan mood penonton berulang terhadap sesuatu filem. Antara yang boleh dikenal pasti ialah keindahan lagu-lagu, babak-babak lucu dan elemen spontan serta mesej khusus dalam filem tersebut.

Elemen gabungan mood.

Kadang-kadang kita masih tidak begitu berjaya menggabungkan elemen-elemen perasaan, nafsu, jasad dan ilmu secara berimbang. Dan kebanyakkan filem terkini terlalu mengikut suatu-suatu genre filem semata-mata tanpa menitikberatkan soal-soal percampuran elemen tadi. Kalau filem hantu mesti dari awal sampai akhir menyeramkan. ataupun kalau filem cinta mesti cintan habis, tapi ada satu elemen juga perlu dimasukkan iaitu elemen pemujukkan agar kandungan tersebut lebih bertanggungjawab iaitu pada akhirnya filem itu akan membawa penonton ketahap mana. Ini lah pengabungan elemen yang saya maksudkan. Mengambil pengajaran, sedar, gembira. dan lain-lain. Paling tidak ianya dapat mewujudkan stress free filem. Mungkin itulah yang diinginkan dari sesebuah filem. Filem Sebagai Ubat. Bukankah nampak lebih maju.

Setiap cerita haruslah mempunyai kesinambungan bak kata saya, biarlah seperti se dari menanam benih hinggalah musim penuaian hasilnya.

Sikit lagi. Pelakon.

Kalau boleh artis yang selalu jadi hero dan heroin kita bagi watak sokongan agar tidak selalu jadi hero yang kadang-kadang turut menjadi faktor yang membosankan apatah lagi macam tiada lagi artis yang boleh diketengahkan. Bagilah watak sokongan tu lebih mantap supaya keberkesanan watak lebih jelas. Hero. Biasalah, kerja mudah.

Tu lah sedikit-sebanyak yang aku ingin coretkan, tapi sebenarnya banyak lagi mau tambah, tapi kata orang sikit-sikit cukuplah. Nanti bukan saja orang mungkin boring membacanya, nanti aku sendiripun malas melihatnya.

Wassalam.

Majulah Filem Sebagai Penjana Modal Insan Negara kita.

Friday, November 7, 2008

Perhimpunan Gerakan mansuhkan ISA

Salam sejahtera,

Mudah-mudahan lebih ramai masyarakat dalam Malaysia ini masih waras dan rasional dalam menghadapi apa jua permasalahan yang dihadapi dalam negara kita ini.

Melalui TV Pas, saya menonton satu sidang media Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Bukan menyalahkan TVPas. TVPas adalah satu medium yang patut kita berterima kasih, sekurang-kurangnya kita mendapat maklumat berimbang.

Persoalannya.... Perhimpunan GMI.
Kenapa perlunya perhimpunan ini mau diadakan ..... dan lagi kenapa Tahun hadapan sekitar Mac 2009.

Dari perencanaan ini saya menyedari bahawa terdapat satu maksud tersirat yang menggunakkan satu isu tersurat yang memangnya sedang hangat.

Eh.. E eehhh , apalah jadi dengan Malaysiaku ini: rakyat sering diperkuda, diperguna walaupun mereka telah menunaikan amanat mereka pada mac 2008.

Cukup-cukuplah, dari mengadakan perhimpunan besar-besaran ada lebih baiknya menumpukan macammana untuk membantu negara ini supaya roda ekonominya terus berputar membasahkan tanah-tanah yang semakin gersang, kegersangan,yang menggambarkan kesukaran yang bakal kita tempuhi pada 2009.

Sedarlah, semakin kita menyemarakkan api pemberontakan semakin menyala api kebencian. Berhujahlah dengan petah, laksanalah dengan berhemah, gunalah pendekatan ini dengan penuh istiqamah.

Secara peribadi saya tidak percaya kepada gerakan perhimpunan seperti ini akan memberikan kebaikan kepada kita semua melainkan ianya disertai 27 juta rakyat Malaysia. Sedarlah apa guna ahli parlimen kita, diundi, disanjung, dipuja kalau bukan untuk berhujah secara ilmiah untuk mencari jalan penyelesaiannya daripada kerja mereka hanya menuding-nuding jari mencari siapa yang salah. Terkadang tersenyum juga melihat telatah mereka di Dewan yang mulia. Ada yang mau jadi hero. Kosong.

Sudah-sudahlah, sebenarnya semua rakyat Malaysia tiada seorang pun seharusnya perlu masuk ISA kalau mulutnya berkata-kata hikmah, berdasarkan hujah yang benar dan bersungguh, tingkahlakunya penuh tertib dan akalnya sentiasa basah disirami ilmu yang bermanfaat untuk bangsanya.

Insaflah,
Jangan jadi hero yang kononnya demi si miskin, tapi ada maksud untuk tertentu, apa lagi pada dasar kepentingan tertentu yang secara medianya dinafikan.

Pernahkah ada si miskin masuk ISA melainkan manusia-manusia yang celupar mulutnya, geragas lakunya. Mungkin ada yang tidak bersalah, tentu ada saja tersilap langkahnya. Dan yang pastinya, TIADA SIAPA YANG BOLEH MEMBERI SYAFAAT TANPA IZIN YANG MAHA BERKUASA!

Tiada pernah ada dalam sejarah satu kedegilan manusia dimusnahkan dengan cara pemberontakan jalanan melainkan timbulnya dendam, yang akan meneruskan permusuhan.

Tidak apa, Hari ini hari kamu, esok hari aku. Itulah bisikan hati-hati yang kalah. Tinggal masa yang menentukannya. Bisik Syaitan di sebelahnya.

Semua orang memang tidak suka ISA, tapi biarkanlah orang yang telah diberi amanah memikir dan mengatasinya. Janganlah rakyat dibawa-bawa, yang rata-ratanya insan-insan malang yang kecewa hatinya, tertekan kehidupannya. Ya.. angkara sebilangan penguasa yang serakah nafsunya. Tapi letakkanlah sedikit harapan, kerana diantara yang berkuasa itu ada jua insan-insan yang boleh kita sandarkan harapan.Kita Kesiankanlah diri kita dan rakyat kebanyakkan.

Pada jiwa muda yang baru ingin berjuang mindanya. Ingatlah hai kawan-kawan ku, tiap-tiap sesuatu perjuangan itu terpapar dihadapannya setinggi gunung cabaranya, selautan api keperitannya. Tiada yang glamour. Yang muda, seperti aku, jom kita bermula dengan sekecil-kecil perkara tapi dengan istiqamah. Pasti kita mampu jua menyumbang.

Cuba-cubalah berikhtiar dan berfikir macammana hendak membantu masyarakat marhean ini untuk terus hidup dengan aman dan sejehtera.

Entahlah apa akan jadi dengan bangsa ku, esok, setelah parah dan hanya tinggal sejengkal nafas barulah sedar bahawa jalan perdamaian itulah langkah terbaik walaupun sikap kita lebih cenderung jadi pembantah.

Sebagai masyarakat umum yang juga berhak menyuarakan pendapat, saya amat berharap kepada semua pemain-pemain politik, ingat-ingatlah masyarakat dibawah masih ramai yang tidak tahu apa-apa, dan janganlah tiba-tibakan mereka porak poranda.

Akhir sekali dan tentunya bukanlah yang terakhirnya , saya berpendapat, selagi sesuatu isu itu ingin diselasaikan tanpa mengikut landasnya, apatahlagi kalau ada baju-baju politik berkepentingan sebagai pendokongnya dan bertindak bersama maksud yang tersirat, Sesuatu pasti akan berlaku. Permainan terikat dengan masanya. Main bola pun 90 minit sahaja.

Kata orang menyesal kemudian tidak berguna.

Kepada NGO, NGO semua ..... insaflah . mana PERKASA, Mana GMI kah, BERSIH kah atau mana-mana dan siapa-siapa saja. Cukuplah. Jom kita tolong gerakan roda ekonomi yang tersekat, kalau kempis, kita pamkan angin, kalau terkubur dilumpur, kita sorong, kalau ber'tagar'', kita beri pelincir. Gunakanlah tulang berkerat-kerat ini untuk bersatu. dan yakinlah bersatu dalam kepelbagaian itu suatu nikmat.

wassallam.

Thursday, November 6, 2008

Kisah Kemenangan Obama

Tahniah, Barrack Obama.
Semua orang tahu kisah kemenangan Obama sebagai suatu peristiwa yang amat bersejarah.
Tentunya intipati kemenangan itu bukanlah kerana siapa Obama itu tapi segunung harapan masyarakat Amerika untuk berubah. Dan Pastinya perjalanannya lebih berliku kerana Obama mewarisi 2 peperangan yang tak berkesudahan dan krisis ekonomi yang semakin menjerut mereka dan juga dunia.
Bukan kisah kemenangan Obama yang menjadi perhatian saya tetapi ada suatu contoh yang seperlunya diikuti oleh pemimpin kita di Malaysia ini.
McCain : Tahniah, saya akan membantu Obama dalam mengharungi cabaran US.
G. Bush : Tahniah, saya akan membuat proses peralihan kuasa dengan terbaik. Saya akan berkerja sama.
Obama : Tahniah McCain ....
Seluruh Rakyat Amerika, tanpa perbezaan bangsa merayakan kemenangan bersama. Tidak kurangnya emosi kegembiraan mereka juga terlakar di merata-rata dunia.
Bila saja keluar keputusan rasmi pilihanraya, para pemimpin menerima keputusan rakyatnya dengan penuh kehormatan dan menawarkan perkhidmatan sambil menyatakan sokongan. Redha.

Bukankah di negara kita berbeza? anda tau politik kita, yang satu pertikai yang satu lagi, sebelah sana persoal sebelah sini... dan macam-macam lagi. Dia begini si anu begitu ... ahhh politik kolot.. Itu aku punya.. ini bukan kau punya ...

Kan baik kalau pemimpin kita macam pemimpin mereka dalam peristiwa bersejarah ini, iaitu menerima kekalahan dengan bermaruah serta meraikan kemenangan dengan hikmah. Dan melihat politik sebagai perjuangan negara bangsa.

yaaaa...

Tapi tidak mengapa, kita boleh memulakannya, tiada perkataan terlambat dalam konteks ini.

Kita juga perlu berubah, kalau Obama bersama Rakyatnya melaung 'Yes, We Can'. 'Malaysia Boleh' rasanya lahir lebih dahulu.
Tiada pernah salahnya mempelajari ilmu walaupun hanya kisah negeri Amerika!.

Doa-doakanlah.




Wednesday, November 5, 2008

Pak Lah Sebagai Bapa Pertanian Moden Malaysia

Terima Kasih Pak Lah.


Itulah perkataan yang seharusnya lahir dari sanubari setiap rakyat Malaysia. Paling tidak beliau adalah pemimpin kita dan tentunya disebalik pelbagai persepsi masyarakat Malaysia yang mungkin benar dan juga mungkin salah, ada kebaikan yang perlu kita hayati.


Pertama, Pak Lah telah menyedarkan kita tentang perlunya Rakyat Malaysia menghayati Modal Insan, kemampuan diri sebagai salah satu sumber dalam memperkayakan lagi negara kita. Mau tidak mau telah ramai antarakita telah bercakap atau sedang bercakap tentang Modal insan. Kita sudah mula ternampak keperluan dan potensi itu walaupun malangnya tidak begitu difahami oleh sesetengah dari kita. Perbincangan, perdebatan dan perencanaan perihal insan sebagai modal adalah satu kejayaan bagi beliau, sekurang-kurangnya untuk mengorak langkah pertama yang lebih drastik. Umum mengetahui bahawa hasil dari perencanaan pemikiran tentang modal insan tentunya tidak akan ternampak dalam setahun dua, namun kelak nanti, pada tahun-tahun mendatang pastinya kita akan nikmati hasilnya. Terima Kasih Pak Lah.


Kedua, Keinginan Pak Lah untuk membangunkan semula sektor pertanian dengan mengubah pandangan umum terhadap Sektor pertanian yang dulunya dilihat sebagai 'Low Class', kini pertanian sudah dilihat sebagai 'High Class' apabila Pak Lah melabel dan menjenamakannya melalui slogan 'Pertanian adalah suatu perniagaan'. Pertanian kini telah menjadi sebuah industri penting sebagai salah satu instrumen utama pembangunan Negara. Lebih dari itu, krisis peningkatan harga minyak yang mendadak baru-baru ini telah memberikan kita satu pengajaran yang amat berguna tentang satu isu keselamatan, iaitu 'Keselamatan Makanan'. Kalaulah rakyat kita terus mendukung aspirasi beliau seawal tahun 2004 tentunya kini kita akan lebih beruntung dan mungkin menjadi salah satu pengeluar makanan serantau malah keperingkat dunia pun kita boleh. Terima Kasih Pak Lah.


Ketiga, Lebih indah daripada itu, Pak Lah tidak hanya bercakap tentang pertanian sekadar melepas batuk ditangga, tapi turut mengisinya dengan pembangunan Teknologi Biologi, Biotek. Dan hari ini sepatutnya kita harus berbangga dengan perkembangan dan tambahan nilai yang wujud dengan cita-cita beliau ini. Kita telah mula dikenali sebagai pengeluar ubatan atau pharmasautical berasaskan Herba hasil kemajuan Teknologi Bio kita. Kita telah mula memasarkan produk kita keperingkat antarabangsa. Terima Kasih Pak Lah.


Keempat, Pak Lah bukan saja ghairah berbicara soal hasil teknologi pertanian malah turut membangunkan ruang pasaran baru iaitu dengan menerokai dan memperkemaskan potensi Industri Halal yang mana hari ini merupakan suatu pasaran yang bernilai berbillion ringgit dengan menubuhkan 'Halal Industry Development Corp. Sdn Bhd' bagi mempercepatkan proses pembangunan, penjenamaan dan pengurusan Industri Halal. Dengan mewujudkan standard yang lebih tinggi terhadap produk halal, kita berpotensi besar menjadi hub halal dunia. Terima Kasih Pak Lah.


Kelima,

Disamping merencana pembangunan instrumen baru sebagai tambahan kepada sumber pendapatan negara, Pak Lah turut tidak lupa untuk merencana pembangunan Luar Bandar dengan lebih tersusun mengikut potensi dengan melancarkan Pembangunan Kelompok mengikut Koridor. Pembangunan berimbang ini mampu mengagihkan peluang kepada semua korridor berkembang mengikut potensi masing-masing. Antara matlamat yang ternampak dalam perancangan ini ialah Pak Lah ingin mengatasi jurang pembangunan antara kawasan Urban dan Luar Bandar. Dan dengan cara ini penduduk luar bandar boleh turut serta bermain dalam sektor perniagaan, pelaburan malah pembangunan pertanian yang menjadi tunjang perencanaan dan impian Pak Lah. Dengan membenarkan rakyat atau kawasan terpinggir turut serta dalam arus pembangunan ekonomi, tentunya masyarakat akan lebih rasa berpeluang untuk menyumbang kepada kemajuan negara ini. Terima Kasih Pak Lah.


Itulah beberapa fakta yang cukup untuk kita terhutang budi kepada Paklah.


Soalnya, apakah Pak Lah patut dipersalahkan jika ianya tidak berjaya. Tentunya bukanlah salah Pak Lah sebagai pemimpin, tapi kesalahan itu harus ditanggung oleh para pelaksana, Mana YBnya, mana kementeriannya, mana pegawai kerajaannya, mana pengampu politiknya dan mana-mana ..


Justeru itu saya sebagai rakyat malaysia yang amat cintakan negara ini, kalaupun tidak terdengar oleh Pak Lah, ingin mengucapkan Terima Kasih Pak Lah. Semoga legasi yang Pak Lah tinggalkan bukan dinilai pada materinya tapi legasi yang dinilai dari segi semangat dan moralnya. Dan tidak salah kalau saya mengatakan, Pak Lah telah berjaya mengimbangi pembangunan dan kemodenan materi yang telah dicipta Oleh Tun Mahathir dengan pembangunan rohaniah dan akal yang cukup berharga. Dengan itu layaklah Pak Lah sebagai Bapa Pertanian Moden Malaysia seperti yang dicadangkan oleh salah seorang kawan.


Terima Kasih Pak Lah.


Terima Kasih.



Tuesday, November 4, 2008

Pak Lah Bapa ...(apa)... Malaysia?

:)

Semalam ada sedikit perbincangan dengan kawan, Apakah Trademark yang paling sesuai untuk Pak Lah yang akan mengundurkan diri pada Mac tahun depan.

Bapa Kemerdekaan Malaysia : Tunku Abdul Rahman
Bapa Pembangunan Malaysia : Tun Abdul Razak
Bapa Perpaduan Malaysia : Tun Hussein Onn
Bapa Pemodenan Malaysia : Tun Dr. Mahathir Mohammad
Bapa .................. Malaysia : Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Boleh beri cadangan. Kita tengok siapa yang tepat. Hadiahnya : Korang memang hebat.

Ada cadangan untuk meletakkan Pak Lah sebagai Bapa Pertanian Malaysia, Bapa Modal Insan Malaysia .... Bapa Keterbukaan Malaysia..???? entah lah apa yang sesuai. fikir-fikirkan lah.

Kalau ada pencalonan nanti kita buat poll pengundian, tapi tiada "undian rasuah" dibenarkan. Cadangan mestilah ikhlas. Tolong sertakan alasan kepada cadangan anda.

:)

Kalimat


14.24

" Kalimat yang baik adalah seperti pohon yang baik,
akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit,
pohon itu memberikanbuahnya pada setiap musim ....
dengan seizin Tuhannya."


" Kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk,
yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi,
tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun."

Monday, November 3, 2008

Hinanya Buruk Sangka.

Begitu mudah untuk buruk sangka,
Apatah lagi bagi insan yang ada cemburu dihatinya,
Sehingga lupa soal ketentuan, soal takdir,
Kebenaran diterjemah jauh dari landasan, melanggar batas-batas
wahyu,
Tanpa menyedari kesan dan seksa atas keterlampauan perasaan
yang sengaja dikafirkan...
Terlanjur dari itu, fitnah ditabur tanpa sempadan, direncana
dengan baris-baris hina mencemar kesucian keperibadian.
Aduh, alangkah mudahnya manusia mencipta api pembakarannya
sendiri.
Ayuh, marilah kita jauhi sifat Dajal durjana,
Bersangka baiklah kepada semua makhluk.
Moga-moga kita menjadi manusia yang selayaknya digelar
insan.

Mengenali Tukang Sihir ...

salam sejahtera, tulisan ini diambil dari buku Perubatan Islam : Menangkis kejahatan Makhluk Halus. Tulisan Sharhan Bin Shafie dan Fakhrul Ridzha Bin Abd. Rahman.
P/s :Anda harus meneliti aspek-aspek hukum syarak iaitu merujuk kepada orang yang ahli sebelum menerima bulat-bulat ulasan dari tulisan ini. Saya sendiri bukanlah orang yang ahli, cuma sekadar berkongsi maklumat tentang tajuk artikel ini.

Pengertian sihir mengikut pendapat Ibn Qudamah Al- Magdisi:
Sihir ialah ikatan, jampi dan perkataan yang diucapkan atau ditulis sesuatu yang mendatangkan kesan dan akibat terhadap tubuh orang yang disihir atau terhadap hati dan akal tanpa menyentuhnya secara langsung.

Maka dengan ta’arif ini dapatlah disimpul bahawa sihir adalah hasil kesepakatan antara penyihir dan syaitan, biasanya syaitan akan berjanji kepada tukang sihir bahawa penyihir mesti melakukan sebahagian perbuatan yang diharamkan atau hal-hal yang mengandungi unsur syirik. Sebagai imbalan bantuan syaitan terhadapnya untuk menyampaikan apa yang berkaitan dengan perkara yang diingininya.
Sekiranya anda melihat salah satu tanda dari tanda-tanda berikut ini pada salah seorang pengubat maka tidak diragukan lagi bahawa dia adalah tukang sihir. Tanda-tanda itu ialah:

1. Meminta sesuatu yang berupa bekas atau apa yang pernah dipakai oleh pesakit seperti kain, baju, sapu tangan dan sebagainya.
2. Menyuruh pesakit membawa haiwan dengan sifat-sifat tertentu untuk disembelih tanpa menyebut nama Allah; Adakalanya melumurkan darahnya kebahagian tubuh yang sakit ataupun mencampakkan sembelihan ke tempat yang sunyi (tiada penghuni).
3. Memberi azimat-azimat tertentu.
4. Membaca jampi serampah ke atas azimat itu dan menggunakan bahasa yang tidak difahami.
5. Menggunakan kain yang berbentuk empat segi didalamnya ada beberapa huruf atau nombor.
6. Menyuruh pesakit supaya tidak menyentuh air selama masa tertentu biasanya selama 40 hari.
7. Menyuruh pesakit supaya menghindari orang atau memencilkan diri selama masa tertentu dibilik yang tidak dimasuki sinar mentari.
8. Menyuruh pesakit untuk menanam sesuatu benda di dalam tanah.
9. Memberi pesakit sesuatu untuk dibakar dan disuruh berasap dengannya.
10. Dia membaca sesuatu yang tidak difahami.
11. Memberi tahu pesakit tentang namanya, negeri asalnya dan persoalan yang akan ditanyakan.
12. Menulis huruf-huruf pada potongan kertas atau pada tembikar berwarna putih dan menyuruh pesakit melarutkanya di dalam air dan meminumnya.


Itulah sedikit sebanyak maklumat yang dapat diapungkan dalam blog ini dengan harapan agar kita tidak terlalu taksub dengan kehebatan orang tertentu dalam perubatan Aternatif. Dengan mengenali sedikit sebanyak ciri-ciri tok bomoh ini, mudah-mudahan kita terhindar dari melakukan perkara syirik.

Jika anda ingin mengetahui ciri-ciri kena sihir atau berhubung dengan sihir saya boleh mengapungkannya dalam blog ini mengikut tulisan buku yang saya rujuk.

Wassalam.