Assalamualaikum/Salam Sejahtera,
Sebenarnya memasang CD Bacaan Ayat-Ayat Suci Al-Quran pada waktu Subuh apatah lagi dengan menggunakan pembesar suara sebenarnya bukanlah sesuatu yang dituntut. Apatah lagi tindakan menguatkan suara bacaan melalui CD itu akan mengganggu orang lain. Islam adalah agama yang bertoleransi dan menjamin apa jua soal-soal yang berkait rapat dengan hak. Namun Islam tidak boleh bertoleransi terhadap sesuatu yang batil. Dalam Islam kebenaran yang hakiki itu adalah sesuatu yang wajib dipertahankan.
Cuba kita fikirkan, apabila kita di Masjid, surau atau dimana jua tempat ibadah, kita dilarang menguatkan bacaan dalam sembahyang kerana mungkin perbuatan kita akan mengganggu jemaah yang lain. Perkataan menguatkan dalam konteks suara kita sudah dilarang apatah lagi menguatkan suara melalui 'Loud Speaker'' tentulah ia akan menimbulkan ketidak selesaan orang lain. Hal ini berbeza dengan amalan laungan Azan kerana azan itu adalah pemberitahuan kepada sampainya waktu sembahyang (kadar kuat yang sederhana) dan rasanya lagi dalam konteks Malaysia kita yang berbilang kaum ini, rasanya azan bukanlah sesuatu yang mengganggu orang lain. Kita seharusnya menghormati toleransi masyarakat minoriti di negara ini sebab kita telahpun mengamalkan toleransi kepada agama lain sejak dari dulu lagi.
Konsep menghormati antara agama ini adalah dalam keimanan / kepercayaan kita :
Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah,
Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah,
Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah,
Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah.
Untukmulah agamamu dan untukkulah agamaku.
Semoga kita semua memahami antara satu dengan yang lain dalam konteks ini.
1 comment:
Memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran kepada umum, saya fikir suatu usaha yang wajar. Walaupun ia dilakukan melalui pemain CD atau seumpamanya. Sejajar dengan saranan Rasulullah s.a.w. "... sampaikanlah walaupun dengan sepotong ayat..." Ini salah satu cara dakwah, supaya kandungan Al-Quran dapat lebih difahami.
Namun ia perlu melihat kepada konteks semasa. Dalam keadaan jika ia menyebabkan gangguan awam, lebih-lebih lagi terhadap jiran bukan beragama Islam, maka ia perlu dihindar demi menjaga keharmonian hidup bermasyarakat dan bernegara.
Dalam konteks lain pula, kerap mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quraan semata-mata belum memadai untuk kita memahami maksud ayat. Kerana tidak ramai kalangan orang Islam sendiri yang memahami bahasa Arab (bahasa dalam Al-Quraan). Maka memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci dengan kuat dan lantang pun tidak akan banyak membantu meningkatkan kefahaman mereka kepada kandungan Al-Quran.
Apa juga yang dilakukan harus dengan niat yang positif. Semoga usaha yang baik membuahkan hasil yang baik juga.
Syabas buat anda.....
Post a Comment