Wednesday, January 7, 2009

Masa untuk menyumbang : Belilah barangan buatan Malaysia

Dalam situasi ekonomi yang agak kurang memuaskan pada tahun ini, 2009, marilah kita menyebarkan kepada seluruh rakyat Malaysia agar membeli barangan buatan Malaysia.


Sumbangan ini akan dapat sedikit sebanyak menyumbang kepada perkembangan ekonomi domestik kita dikala eksport kita dijangka menurun. Ia juga bertujuan mengurangkan import barangan luar.

Perkiraan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK ) adalah berdasarkan kadar produktiviti sesebuah negara, salah satunya kaedah pengiraan adalah mengikut Formula Berikut :


KDNK = kepenggunaan + Perbelanjaan Kerajaan + Pelaburan Kasar (Swasta)+ (Eksport - Import)


Dalam kes kita di Malaysia, tahap kepenggunaan iaitu kemampuan membeli dan tabiat perbelanjaan agak merosot mungkin disebabkan kerisauan tentang gangguan sumber pendapatan terutamanya pekerja dari sektor swasta. Namun begitu mengikut sesetengah pendapat, rakyat Malaysia memang suka berbelanja.


Apa yang diperlukan dari segmen kepenggunaan ialah kita mesti terus berbelanja tapi perlulah dengan bijak iaitu membuat pembelian yang mengikut keutamaan daripada barangan asas, iaitu barangan keperluan sehinggalah barangan kehendak. Jika kita terus mengekalkan momentum kepenggunaan ini kita boleh mengelakkan segmen kepenggunaan kita tidak menurun.


Perbelanjaan kerajaan. Suntikan 7 billion Ringgit baru-baru ini adalah satu tindakan bijak kerajaan dalam mengimbangi kemerosotan segmen pelaburan terutamanya dikalangan sektor Swasta. Pada tahun 2009, perbelanjaan kerajaan seharusnya lebih banyak supaya pihak kerajaan dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan segmen pelaburan terutamanya dari pihak swasta. Paling tidak pun perbelanjaan kerajaan ini mampu menyeimbangi segmen pelaburan.


Kenaikkan gaji kakitangan awam sebelum ini turut menjadi sebab kenapa kita lambat mendapat tempias ekoran kemelesetan ekonomi dunia. Kerana adanya peningkatan kuasa beli rakyat, sektor domestik mampu bertahan sehingga ke tahap ini. Namun jika kerajaan ingin terus meningkatkan segmen kepenggunaan, pemberian bonus kepada kakitangan awam pada suku pertama adalah satu tindakan yang cukup baik untuk menyokong kempen belilah barangan buatan Malaysia.

Pelaburan kasar terutamanya dikalangan pihak swasta agak menurun kerana pada kebiasaannya suasana kegawatan tidak sesuai untuk melabur kerana dikuatiri permintaan terhadap sesuatu produk adalah berkurangan, lagi pun juga ditakutkan kadar pulangan pelaburan dijangka kurang baik.


Namun begitu melihat pada perkembangan semasa iaitu dalam segmen perbankan, Bank kita di Malaysia ini agak cemerlang kerana rasanya belum ada satupun bank kita 'bankrup'. Ini satu kelebihan. Tindakan Bank negara untuk terus mengekalkan kadar faedah juga membantu sektor perbankkan untuk terus menawarkan pinjaman kepada sektor swasta , ditambahlagi dengan penambahan dan pengubahsuai tempoh bayaran balik pinjaman yang lebih lama mampu mengurangkan beban bayaran ansuran bulanan. Ini satu lagi tindakan bijak, ini terbukti kerana peratusan pinjaman tidak berbayar adalah pada kadar kurang dari 3 peratus.


Pengurusan Bank negara patut dipuji kerana dapat mengembangkan sektor perbankkan Islam disamping terus mengekalkan perbankkan Konvensional. Tindakan ini juga patut dipuji. Perbankkan Islam adalah berdasarkan produktiviti, nah ini mampu menunjukkan kualiti sebenar pelaburan.


Eksport kita dijangka menurun terutamanya eksport ke Amerika Syarikat kerana negara itu sedang mengalami kegawatan ekonomi sekaligus mengurangkan kuasa beli rakyat Amerika. Namun menghalakan lebih banyak eksport kita kepada negara Timur Tengah dan sekitar Asia serta EU mungkin dapat membantu.


Justeru dengan jangkaan menurunnya kadar eksport negara kita, maknanya kita mesti mengurangkan import sebagai salah satu cara untuk mengimbangi penurunan kadar eksport tersebut itu. Pergurangan eksport juga bermakna pengurangan produk, ini juga bermakna kapasiti pengeluaran kilang kita juga turut berkurangan dan juga memungkinkan pengurangan pekerja. Bila pemberhentian perkerja berlaku maknanya sektor kepenggunaan turut merosot kerana kurangnya pendapatan isi rumah. Jadi bagi meminumumkan impak tersebut, kita harus meningkatkan permintaan domestik supaya sektor perkilangan masih mampu mengekalkan produksi dan pengeluaran barangan tempatan pada kadar yang paling sesuai dengan keadaan ekonomi dunia . Jadi kempen belilah barangan buatan Malaysia adalah sesuatu yang perlu disokong dengan sepenuh hati, paling tidak sebagai salah satu cara kita menyumbang kepada negara agar taraf hidup dan ekonomi kita kekal stabil seterusnya mengelakkan lebih ramai rakyat kita jatuh kepada tahap kemiskinan tegar.


Akhir sekali,


Belilah barangan buatan Malaysia, sambil menyumbang kita dapat barang.

Kurangkanlah berpolitik, kita tingkatkan perpaduan kerana perpaduan adalah Asas Ekonomi yang paling penting untuk kita jaga sebagai rakyat Malaysia.

No comments: