Bulan Mac 2009 merupakan satu bulan yang cukup merisaukan aku. Pada bulan inilah berlakunya pemilihan jawatan tertinggi dalam UMNO. Akan berlakukah perpecahan. Akan adakah gejala rasuah. Akan terlantikkah pemimpin yang selayaknya jadi pemimpin. Atau akan berlakukah sebaliknya. Walaupun UMNO bukanlah segala-galanya, tapi tetap akan besar kesan dan impaknya. Inilah kerisauannya.
Tahun 2009 merupakan tahun yang menuntut keunggulan kerajaan, prestasi seoptima mungkin. Tahun inilah juga seluruh rakyat terpaksa menaruhkan setinggi harapan kepada kerajaan untuk menepuhi kemurungan ekonomi yang bakal menjamah kita.
Dalam kemerosotan segmen kepenggunaan, pelaburan swasta serta berkurangnya 'gap' imbangan eksport dan import, kita amat bergantung kepada segmen perbelanjaan kerajaan untuk menjadi penyelamat dan menjadi pemangkin ekonomi negara seterusnya menolak kembali angka-angka k3tiga-tiga segmen tadi ketahap yang meletakkan kita sekurang-kurangnya kekal stabil.
Dalam kebergantungan kita kepada kerajaan ini, kita tidak mampu untuk berhadapan dengan pergolakkan politik. Kita tidak mampu mengalami perpecahan. Kita tidak mampu untuk kehilangan perpaduan.
Apa akan jadi kalau 'kerisauan' ini benar-benar berlaku. Rasanya malapetakalah jawapannya, ya malapetaka dalam bentuk ekonomi. Kita tidak mahu kerajaan bersituasi seperti sesetengah kelab bola sepak di negara kita, tidak mampu membayar gaji pemain. Hidup segan mati tak mau. Apalah pula nasib kakitangan awam jika keadaan itu terjadi, mampukah lagi kerajaan membayar gaji 'semewah' sekarang. Pastinya anda tahu jawapannya. Kalau kerajaan tidak mampu membayar gaji kakitangan awam, gaji kakitangan swasta jangan cakaplah, anda tahu sendiri jawapannya.
Sebelum ini terjadi aku memohon kepada semua pihak agar tahun ini, tahun 2009 , sehinggalah pilihanraya akan datang agar melakukan 'genjatan senjata' supaya kerajaan yang sedia ada mampu untuk kita sandarkan harapan. Mampu memikul bebanan dikala rakyat bakal dibebani kesusahan. Mampu bertindak tanpa sebarang gangguan.
Pihak media sebarkanlah cerita kebaikkan semua orang. Jangan sebarkan cerita keburukkan parti ini atau parti itu. Ceritakanlah hasil perbincangan. Ceritakanlah buah permuafakatan. Hindarkanlah membina presepsi negatif. 2009 cukup sensitif dengan semua ini.
Kepada Pakatan Rakyat, hentikanlah keinginan untuk mengambil alih kerajaan, paling tidak tangguhkanlah ke pilihanraya umum yang berikutnya. Bantu-membantulah dengan Kerajaan BN dalam apa jua keadaan, berkongsilah idea, berkongsilah kepakaran. Kita masih satu, kita masih satu sebagai rakyat Malaysia. Lupakanlah persengketaan. Pengambilalihan tampuk pemerintahn dikala ini bukanlah satu tindakan bijak. Mana mungkin ketika api marak, ketika itulah baru merancang itu dan ini. Belum habis merancang, mungkin kita sudah rentung. Aku bukanlah selayaknya bercerita tentang soal pemerintahan, tapi aku amat yakin, membina sebuah sebuah kekuasaan pemerintahan bukanlah satu perkara yang mudah.
Kali ini apa yang rakyat ingin lihat ialah masih wujudkah wadah perjuangan dalam politik. Insaflah bahawa manusia yang selalu bersengketa tidak layak memperkatakan soal perjuangan. Perjuangan itu hanya menginginkan langkah yang suci, bebas dari kejahatan.
Waktu inilah semua ahli politik harus menunjukkan serta membuktikan bahawa merekalah pejuang negara. Curahkanlah bakti. Hargailah perbezaan.
Khas kepada Dato' Seri Najib, menjadi pemimpin dikala zaman kemelesetan bukanlah suatu kerja yang mudah. Ia menuntut seperit-perit pengorbanan, jadikanlah kesukaran ini sebagai satu landasan usaha untuk mendapat kemudahan bagi rakyat seluruhnya. Lupakanlah 'label' yang sengaja dilekatkan dibaju dato'. Jadikanlah ianya sebagai satu sebab untuk meraih dan melakar lebih banyak kejayaan.
Pesanan kepada Dato' Seri Anwar, teruskanlah berjuang asalkan ia bukan perjuangan untuk menjatuhkan sesiapa. Alaskanlah usaha itu sebenar-benarnya berkainkan keadilan. Jangan benarkan diri anda di'label'kan sebagai perampas takhta melalui jalan pintas .
Untuk semua pemimpin, berusaha sajalah dan benarkan rakyat menilai. Anda perlu yakin yang akhirnya nanti, yang benarlah pasti akan menang. Namun sebaik-baik penilaian adalah penilaian yang dibuat oleh Yang Maha Mengetahui.
Sekali lagi, kita tidak mampu untuk berpecah didalam merentasi tahun 2009, satu tahun yang pastinya penuh dengan cubaan.
Hah ... kepada semua wakil rakyat tanpa mengira apa partinya, andalah sebahagian dari 'kerajaan Malaysia'. Anda mesti bertanggungjawab memikul amanah ini bersama-sama.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment