Wednesday, December 31, 2008

Kenapa masih tidak puas hati?

Apakah yang mendorong seseorang manusia sentiasa berprasangka buruk terhadap manusia lain?

Dalam negara kita meskipun sedikit sangat jumlahnya, masih ada antarakita mempunyai buruk sangka terhadap sesuatu kaum. Sindrom ini lebih terkesan ekoran sedikit pergolakkan politik yang melanda kita dalam tahun 2008.

Menyoroti 2008, pelbagai kisah dan peristiwa yang sebenarnya merupakan satu amaran awal kepada rakyat Malaysia supaya terus menjunjung tinggi serta menanam lebih banyak semangat perkongsian nilai sebelum kebanggaan dan harta kita bernama 'Bersatu dalam kepelbagaian' tinggal menjadi sejarah yang akan mengisi hati-hati generasi akan datang dengan tangisan kekesalan.

Sebagai rakyat biasa, aku ingin sangat melihat Malaysia sepertimana yang selalu kita hebah-hebahkan; perpaduan, tolak-ansur, peramah, bersopan santun, baik budibahasanya dan banyak lagi yang sebenarnya telah diakui ramai daripada masyarakat dunia. Kata mereka, Malaysia adalah contoh satu-satunya negara yang mempunyai rakyat yang mempunyai toleransi yang terbaik didunia, meskipun terdiri daripada berbilang bangsa, keturunan, bahasa dan Agama.

Akal yang berpaut diruang kepala aku mula membuat kesimpulan walaupun belum tentu jadi jawapannya bahawa salah satu punca sedikit kebangkitan 'rasa tidak puas hati' dikalangan rakyat kita adalah angkara permainan politik yang tidak berkesudahan. Pilihanraya Umum sudah lama berlalu, tetapi dada-dada akhbar masih 'menjual' cerita-cerita politik yang ibaratnya 'pisang goreng' yang masih laris untuk dijual. Di'sensasi'kan dalam pelbagai rasa. Masih boleh buat untung disebalik saingan yang amat hebat dari berita-berita blog yang kebanyakkannya bukan berorentasikan keuntungan.

Dari Dewan Yang Mulia sehinggalah ceramah rumah kerumah akan ada saja 'ahli politik' mendendangkan lagu kutuk mengutuk. Ada yang langsung tidak sedarkan diri melaungkan bahawa ; aku wakil rakyat kawasan ini dan kawasan itu, tapi benarkah itu suara rakyat yang diwakilinya. Tidak terkecuali ada stesen TV turut meng'air'kan cerita keburukkan sipolan dan sipolan. Kisah dipotong dan digabung menjadi satu cerita yang kadang-kadang jatuh ketahap penghinaan. Bukan membela sesetengah pemimpin tapi tidakkah pernah terfikir oleh pemain media ini lebih dalam dari itu 'editor' atasan disebalik perencenaan bahawa cara itu sudah terlalu lama pendekatannya. Tidak pernah ada kebaikkannya mencanai cerita kelemahan orang lain. Bukakankah lebih baik bercerita tentang aspirasi dan kisah-kisah kejayaaan, sedikit sebanyak banyak hati-hati yang 'tidak puas' dapat diubati. Cukuplah, jangan ulangi kegagalan lama. Zaman ini zaman ilmu, zaman informasi, maklumat dihujung jari. Tidak akan semudah itu rakyat kita menerima apa saja yang dipaparkan kepada mereka. Masyarakat dalam 'mood' negatif. Cerita negatif tidak akan menukarkannya jadi positif.

Satu cerita yang patut menjadi kebanggaan. Disebalik kegawatan dunia ini, kita di Malaysia masih mampu begini, masih mampu membeli 'reload' untuk berbual kosong, meskipun ada yang masih ber'title'kan penggangur terhormat. Anak-anak seawal 7 tahun ligat menekan butang handphone jenama luar negara, bersms kisah percutian mereka. Bukankah kita lebih patut bersyukur.

Realistik dengan keadaaan ekonomi semasa, mungkin tahun depan akan ada sedikit 'kemurungan' tapi kemurungan itu mungkin dapat diatasi jikalau kita terus berpresepsi positif dengan kemampuan kita. Perbankkan kita masih belum ada yang gulung tikar. Kenapa? tentu ada sebabnya. Mungkin kita mempunyai dua sistem perbankkan yang berjalan serentak, perbankkan Islam disamping perbankkan Konvensional. Pasaran Halal Hub masih 'muda' dan masih banyak yang boleh diterokai.

Kejayaan resepi kita ketika berhadapan dengan kemelut ekonomi 1997 patut kita pelajari sejarahnya, tentunya bukan sebab kehebatan Tun Mahathir tetapi kebijaksanaannya menilai keadaan patut kita hargai. Keadaan apakah yang membolehkan Formula ajaib itu berkesan meskipun terkeluar dari pemikiran ramai pakar ekonomi dunia. Pastinya ramuan utama dalam resepi itu adalah kita. Ya kita rakyat Malaysia. Perpaduan Rakyat Malaysia. Penyatuan kitalah sebenarnya yang menjayakan kita. Pernah berkali-kali aku menyebut bahawa harta yang paling bernilai bagi rakyat Malaysia ialah 'perpaduan disebalik kepelbagaiannya' . Kepelbagaian itu suatu nikmat. Pakar ekonomi dunia bukannya bodoh malah ada yang terlalu bijak dalam soal ekonomi, tetapi mungkin mereka tidak mempunyai ramuan seperti yang kita ada. Jadi tidak mungkinkah lagi kita mampu mengulangi kejayaan kita bersama ini pada tahun 2009 mungkin dengan sedikit penambahbaikkan. Lebih berpadu dan lebih bersatu. Biarkanlah alasan 'kemelesatan ekonomi dunia' itu menjadi 'sebab' bagi orang lain. Jadikanlah 'Kemakmuran dan kepelbagaian' kita menjadi sebab untuk kita terus berjaya.

Dalam konteks negara kita ini, tiada satupun kaum patut 'mengangkat' kaum mereka lebih berjasa melainkan setiap orang dari warga emas, kerajaan dan swasta, rakyat biasa sehinggalah anak-anak comel kita lah yang 'amat' berjasa terhadap negara kita Malaysia dan kehidupan di dalamnya.

Jadikanlah 'rasa tidak puas hati' sebagai 'bench mark' untuk kita lebih berusaha sehinggalah suatu hari nanti hati kita mampu menangis melihat mungkin ada insan yang tidak bernasib baik dikalangan kita lalu mengulur bantuan tanpa terlintas sedikitpun apa bangsa dan kaumnya.

Bersyukurlah, Malaysia adalah negara bertuah, dan telahpun ditakdirkan sepelbagai begini oleh Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani.

wassallam

No comments: