Wednesday, December 31, 2008

Jangan hina Islam.

Kepada insan diluar sana yang mempunyai niat untuk menghina Islam, fikirkan semula niat anda.

Kalau benar anda ingin menilai Agama Islam dan ingin mengetahui apakah sebenarnya Islam itu, bacalah dulu sumbernya, AL-Quran dan kemudian lapangkan fikiran dan telitilah nilai ilmunya. Jikalau benar ada kesilapan didalamnya, datangkanlah walau sebaris ayat seumpamanya.


Dan kalau benar anda seorang ilmuan yang ingin mencari kebenaran, jangan menilai dan membuat kesimpulan berdasarkan 'lahiriah' penganutnya yang mungkin saja tersasar dari ajaran yang sebenarnya. Bacalah wahyu yang terkandung dalam Al-Quran, telitilah, perhatikanlah, nescaya tidak seorangpun mampu menghasilkan sepertinya apatahlagi mampu membuat suatu jaminan seperti jaminan dan ancaman serta peringatan yang terkandung dalam Al-Quraan.

Peringatan kepada umat Islam :

Menghina agama lain ataupun merosakkan rumah ibadatnya adalah sesuatu yang haram hukumnya. Melanggarnya bererti akan mendapat dosa dan bakal akan mendapat balasan dari yang Maha Kuasa. Biarkanlah mereka dengan agama mereka dan kita wajib terus menjaga kesucian agama kita.

Wassallam.

Kenapa masih tidak puas hati?

Apakah yang mendorong seseorang manusia sentiasa berprasangka buruk terhadap manusia lain?

Dalam negara kita meskipun sedikit sangat jumlahnya, masih ada antarakita mempunyai buruk sangka terhadap sesuatu kaum. Sindrom ini lebih terkesan ekoran sedikit pergolakkan politik yang melanda kita dalam tahun 2008.

Menyoroti 2008, pelbagai kisah dan peristiwa yang sebenarnya merupakan satu amaran awal kepada rakyat Malaysia supaya terus menjunjung tinggi serta menanam lebih banyak semangat perkongsian nilai sebelum kebanggaan dan harta kita bernama 'Bersatu dalam kepelbagaian' tinggal menjadi sejarah yang akan mengisi hati-hati generasi akan datang dengan tangisan kekesalan.

Sebagai rakyat biasa, aku ingin sangat melihat Malaysia sepertimana yang selalu kita hebah-hebahkan; perpaduan, tolak-ansur, peramah, bersopan santun, baik budibahasanya dan banyak lagi yang sebenarnya telah diakui ramai daripada masyarakat dunia. Kata mereka, Malaysia adalah contoh satu-satunya negara yang mempunyai rakyat yang mempunyai toleransi yang terbaik didunia, meskipun terdiri daripada berbilang bangsa, keturunan, bahasa dan Agama.

Akal yang berpaut diruang kepala aku mula membuat kesimpulan walaupun belum tentu jadi jawapannya bahawa salah satu punca sedikit kebangkitan 'rasa tidak puas hati' dikalangan rakyat kita adalah angkara permainan politik yang tidak berkesudahan. Pilihanraya Umum sudah lama berlalu, tetapi dada-dada akhbar masih 'menjual' cerita-cerita politik yang ibaratnya 'pisang goreng' yang masih laris untuk dijual. Di'sensasi'kan dalam pelbagai rasa. Masih boleh buat untung disebalik saingan yang amat hebat dari berita-berita blog yang kebanyakkannya bukan berorentasikan keuntungan.

Dari Dewan Yang Mulia sehinggalah ceramah rumah kerumah akan ada saja 'ahli politik' mendendangkan lagu kutuk mengutuk. Ada yang langsung tidak sedarkan diri melaungkan bahawa ; aku wakil rakyat kawasan ini dan kawasan itu, tapi benarkah itu suara rakyat yang diwakilinya. Tidak terkecuali ada stesen TV turut meng'air'kan cerita keburukkan sipolan dan sipolan. Kisah dipotong dan digabung menjadi satu cerita yang kadang-kadang jatuh ketahap penghinaan. Bukan membela sesetengah pemimpin tapi tidakkah pernah terfikir oleh pemain media ini lebih dalam dari itu 'editor' atasan disebalik perencenaan bahawa cara itu sudah terlalu lama pendekatannya. Tidak pernah ada kebaikkannya mencanai cerita kelemahan orang lain. Bukakankah lebih baik bercerita tentang aspirasi dan kisah-kisah kejayaaan, sedikit sebanyak banyak hati-hati yang 'tidak puas' dapat diubati. Cukuplah, jangan ulangi kegagalan lama. Zaman ini zaman ilmu, zaman informasi, maklumat dihujung jari. Tidak akan semudah itu rakyat kita menerima apa saja yang dipaparkan kepada mereka. Masyarakat dalam 'mood' negatif. Cerita negatif tidak akan menukarkannya jadi positif.

Satu cerita yang patut menjadi kebanggaan. Disebalik kegawatan dunia ini, kita di Malaysia masih mampu begini, masih mampu membeli 'reload' untuk berbual kosong, meskipun ada yang masih ber'title'kan penggangur terhormat. Anak-anak seawal 7 tahun ligat menekan butang handphone jenama luar negara, bersms kisah percutian mereka. Bukankah kita lebih patut bersyukur.

Realistik dengan keadaaan ekonomi semasa, mungkin tahun depan akan ada sedikit 'kemurungan' tapi kemurungan itu mungkin dapat diatasi jikalau kita terus berpresepsi positif dengan kemampuan kita. Perbankkan kita masih belum ada yang gulung tikar. Kenapa? tentu ada sebabnya. Mungkin kita mempunyai dua sistem perbankkan yang berjalan serentak, perbankkan Islam disamping perbankkan Konvensional. Pasaran Halal Hub masih 'muda' dan masih banyak yang boleh diterokai.

Kejayaan resepi kita ketika berhadapan dengan kemelut ekonomi 1997 patut kita pelajari sejarahnya, tentunya bukan sebab kehebatan Tun Mahathir tetapi kebijaksanaannya menilai keadaan patut kita hargai. Keadaan apakah yang membolehkan Formula ajaib itu berkesan meskipun terkeluar dari pemikiran ramai pakar ekonomi dunia. Pastinya ramuan utama dalam resepi itu adalah kita. Ya kita rakyat Malaysia. Perpaduan Rakyat Malaysia. Penyatuan kitalah sebenarnya yang menjayakan kita. Pernah berkali-kali aku menyebut bahawa harta yang paling bernilai bagi rakyat Malaysia ialah 'perpaduan disebalik kepelbagaiannya' . Kepelbagaian itu suatu nikmat. Pakar ekonomi dunia bukannya bodoh malah ada yang terlalu bijak dalam soal ekonomi, tetapi mungkin mereka tidak mempunyai ramuan seperti yang kita ada. Jadi tidak mungkinkah lagi kita mampu mengulangi kejayaan kita bersama ini pada tahun 2009 mungkin dengan sedikit penambahbaikkan. Lebih berpadu dan lebih bersatu. Biarkanlah alasan 'kemelesatan ekonomi dunia' itu menjadi 'sebab' bagi orang lain. Jadikanlah 'Kemakmuran dan kepelbagaian' kita menjadi sebab untuk kita terus berjaya.

Dalam konteks negara kita ini, tiada satupun kaum patut 'mengangkat' kaum mereka lebih berjasa melainkan setiap orang dari warga emas, kerajaan dan swasta, rakyat biasa sehinggalah anak-anak comel kita lah yang 'amat' berjasa terhadap negara kita Malaysia dan kehidupan di dalamnya.

Jadikanlah 'rasa tidak puas hati' sebagai 'bench mark' untuk kita lebih berusaha sehinggalah suatu hari nanti hati kita mampu menangis melihat mungkin ada insan yang tidak bernasib baik dikalangan kita lalu mengulur bantuan tanpa terlintas sedikitpun apa bangsa dan kaumnya.

Bersyukurlah, Malaysia adalah negara bertuah, dan telahpun ditakdirkan sepelbagai begini oleh Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani.

wassallam

Tuesday, December 30, 2008

'Kontraktor' ESEI dan TUGASAN?

Membelek-belek surat khabar menemukan aku dengan satu iklan, ' ASSIGNMENT...ESEI semua bidang ... IPTA/IPTS... BI/BM....
Anda tentunya faham dengan iklan berkenaan, tapi apa yang menjadi persoalannya, tidakkah ada IPTA atau IPTS menyedari bahawa tugasan kertas kerja yang diberikan kepada pelajar-pelajar mereka kini telah ada yang di'subkontrak'kan. Atau tidak terkesankah tindakan mereka?
Apalah erti pembelajaran kalau latihan dan tugasan yang diberikan 'dijawab' dan 'diselesaikan' oleh orang lain. Timbul juga persoalan tentang kualiti pelajar yang bakal dilahirkan. Ataukah segulung ijazah lebih penting dari proses pembelajaran? Atau hanya sekadar untuk mengejar pangkat yang lebih tinggi?
Tapi yang aku pasti konsep 'subkontrak' tugasan sebenarnya telah melanggar etika ilmu itu sendiri.
Walauapapun, mudah-mudahan hanya segelintir pelajar berfikiran singkat seperti ini. Tapi kalau ada orang sehingga sanggup mengiklankan perkhidmatannya di surat khabar, tentunya perkara ini menjadi 'bisnes' yang menguntungkan.
Kadang-kadang mau saja aku berpresepsi negatif ... namun aku mesti berpresepsi positif... ya mungkin hanya untuk kes kajian soal selidik yang di'subkontrak'kan.
Tapi bukankah sesuatu yang lebih baik jika pihak pusat pengajian tinggi membuat satu kajian akademik mengenai perkara ini. Takut-takut nanti perkara 'sumbang' terhadap ilmu ini tambah melarat. Sebelum itu terjadi dan demi kebaikkan dan kualiti 'Modal Insan' negara kita, kajian untuk perkara ini ada juga asasnya.
Dengar-dengarnya 'projek' ini ada berlaku pada segelintir pelajar luar kampus... dengan alasan sibuk...
wassalam.
renung-renungkanlah. Walaupun ada ternampak realitinya tapi buat-buat tak nampak ja.. almaklumlah siapa kita untuk mempersoalkan 'hal' orang lain.

Wednesday, December 24, 2008

Kaitan presepsi negatif dengan ketenangan

Bercuti 2 minggu memberi peluang untuk aku membuat sedikit pemerhatian. Aku cuba untuk tidak membaca blog dan berita-berita 'tertentu' terutamanya perkara-perkara yang berkaitan dengan presepsi.

Ya..presepsi. Presepsi adalah tanggapan terhadap sesuatu perkara. Presepsi tergolong dengan perkara yang was-was, iaitu belum tahu sama ia benar ataupun tidak. Presepsi juga lebih kepada penilaian tanpa asas kukuh.

Antara presepsi terkini :

Presepsi rakyat tentang UMNO menyatakan UMNO digambarkan penuh dengan rasuah tapi faktanya tidak dijelaskan melainkan hanya sekadar cerita dengar-dengar dan sejumlah tuduhan kes yang belum lagi tahu apa keputusannya. UMNO juga dilanda presepsi ketegangan perhubungan dalaman ekoran sedikit pertandingan dalam pemilihan bahagian dan pemilihan yang bakal berlaku Mac 2009 nanti.

Presepsi tentang peralihan kerajaan. Tiada sesiapa tahu jawapannya. Diluar sana terlalu banyak presepsi disertai dengan sebab dan alasan kenapa, bagaimana dan sebagainya.

Presepsi tentang sedikit ketegangan kaum. Benarkah ada sedikit keretakan ekoran beberapa kenyataan 'panas' pemimpin-pemimpin tertentu. Realitinya ok saja.

Presepsi tentang Keutuhan BPR. Mudah-mudahan dengan penubuhan Suruhanjaya BPR nanti mengubah presepsi ini. Rakyat sepatutnya membantu Agensi ini, dan semoga dengan bantuan ini BPR akan terus menjadi penyelamat negara kita daripada terus dilanda penyakit Rasuah ini. Antara realitinya, anggota BPR tidaklah seramai mana tapi harapan terhadap mereka tuh setinggi kinabalu. Pendek cerita bebanan kerja.

Presepsi tentang Agensi Keselamatan seperti Pasukan Polis juga turut berlegar. Kalau positif tidak mengapa, tapi yang tidak sedap didengar pula yang biasa timbul. Kesian Polis, sudahlah kerja susah payah mempertahankan keselamatan negara, mereka juga terpaksa berhadapan dengan presepsi negatif yang pastinya hanya disebabkan kelakuan sedikit sangat dari mereka.

Presepsi tentang ekonomi negara. Sehingga ketika ini, tiada fakta sebenar yang boleh menyatakan situasi sebenar apakah yang bakal berlaku pada tahun hadapan. Dengar-dengar telah ada yang telah kena berhenti kerja, tutup kilang, kurangkan operasi perniagaan, ada pula yang telah gulung tikar. Soalnya berapa ramai yang terlibat? kalau ramai maknanya kita telah memasuki alam kemelesetan ekonomi, tapi sejauh mana?

Presepsi politik juga tetap ada. Pilihanraya Parlimen di Terengganu, Pensiangan dan tahun depan DUN Sarawak. Pelbagai presepsi juga sedang berkeliaran disemua arah.

....... dan banyak lagi presepsi ... masih didendangkan di sana sini.


Berbalik dengan sedikit pemerhatian kesan presepsi dengan ketenangan kita. 2 minggu satu tempoh yang cukup bermanfaat kerana aku telah mencuba menukar suasana kebiasaan kepada sesuatu yang lain. Terbukti otak aku agak lapang sedikit dan wujud sedikit ketenangan.

Rupanya kalau kita selalu membaca dan mengikuti hal-hal yang berkaitan dengan soal-soal presepsi, otak kita turut ter'prepsi' sebabnya otak kita beroperasi mencari jawapan secara otomatik terhadap sesuatu yang tidak pasti. Secara logiknya, presepsi bukanlah sesuatu yang bersandarkan kepada sesuatu bukti yang nyata jadi otak akan sentiasa tercari-cari apakah jawapannya. Kadang-kadang non-stop. Kalau terlalu banyak operasi silap-silap macam komputer, 'Hang'.

Jika kita sengaja membuat sesuatu kesimpulan tentang sesuatu presepsi iaitu memberi satu keputusan dengan hanya membuat andaian, presepsi mungkin akan beransur hilang tapi persoalan itu berpindah pula kepada ganguan perasaan kerana hati memiliki nilai yang berlainan, apatah lagi sebagai orang yang beragama tentu mengandaikan sesuatu tanpa pengetahuan adalah sesuatu yang tidak dibenarkan. Selagi sesuatu itu tidak terbukti benar dengan cukup nasnya, ia digelar fitnah. Fitnah. Lagi parah. Sakit jiwa jadinya.

Maka dengan itu aku akan terus mencuba untuk tidak bermain dengan presepsi. Kalau presepsi baik tidak mengapa, kalau benar jadi kebaikan, kalau salah, jadikan pengajaran. Kalau presepsi negatif, kalau benar tentu tidak mengapa tapi kalau salah tentu dapat dosa.

Mudahnya, positifkan presepi kita walauapapun andaianya.

Akhir kata, Positifkan presepsi anda demi untuk kemakmuran negara.

Apa anda akan buat bila terasa sunyi?

Sunyi bila balik rumah ..

Isteri dan anak-anak masih bercuti.

Bila balik rumah .. macam tiada apa-apa ..

Dapur tiada asap ..

Adakah ini satu lagi pengajaran .. kita bukanya siapa-siapa dalam dunia ini tanpa keluarga.

Kalau anda, anda buat apa?

Monday, December 22, 2008

Ah Tik

Baru-baru ni aku berkesempatan bercuti di Labuan, rumah mak Mertua. 1 minggu. Sebelum itu, fikiran agak sedikit melayang-layang memikirkan aktiviti yang perlu aku jalankan semasa bercuti tersebut. Tapi Alhamdulilah banyak pemerhatian dapat dibuat. Tengok matahari terbenam, mandi laut, tengok burung, melawat perpustakaan ikan. Menghadiri Kenduri 'bersunat' anak sepupu aku sambil-sambil menjadi 'guide' kepada keluarga dari kampung ber'shopping'. Seronok dan bermanfaat.

Kalau cerita tentang Labuan, banyak kisah yang menarik boleh dikongsi. Kata orang tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat belajar. Apalagi tempat kelahiran isteri tercinta.

Labuan memang indah, bunga-bunga hiasan landskap cukup menarik cuma kalaulah kerajaan prihatin sikit dengan kampung aku yang belum ada air paip, ambik sikit dari peruntukan untuk penyelenggaraan dan kos bunga-bunga hiasan jalan tu bolehlah bagi orang kampung aku merasa nikmatnya bermandikan air paip. Kata kawan-kawan di sana, kos untuk 'lanscaping' lebih kurang 5 juta setahun. Itu aku tidak tahu, tapi itulah jawapan salah seorang kawan di sana.

Banyak lagi ... Arak , rokok, memang murah. Tapi heran juga, pelancong tidak lah ramai kelihatan, tapi kedai menjual arak agak 'ramai' pulak. Kenapa? entahlah anda fikir-fikirkan sendirilah. Malas aku mencipta presepsi.

Oppss.. sebenarnya aku mau mengisahkan tentang seorang pakcik bernama Lim Boon Tik, Tokeh Kedai Runcit, kami pelajar-pelajar Asrama Yayasan Sabah Labuan biasa memanggil beliau Ah Tik.

Entah kenapa teringin sangat melawat Ah Tik, mungkin aku ingin mengimbau zaman remaja, zaman persekolahan dulu-dulu. Sayu juga. Asrama Yayasan Sabah yang dulunya meriah kini telah menjadi kawasan yang dipenuhi lalang. Sungguh malang. Sedih pun ada. Disitulah kami, anak-anak kampung menimba ilmu. Apapun terima Kasih Yayasan Sabah. Dan Kedai Ah Tik bersebelahan dengan Asrama kami. Ah Tik cukup baik, petah berbahasa Melayu loghat Brunei. Disitulah kami berbelanja, beli keropok dan sedikit keperluan asrama. Kadang-kadang kami makan maggi di sana. 'Time' dulu makan maggi memang best. Sedap. Mungkin wang saku tidak banyak tu yang menyebabkan maggi tu sedap. Cap Indomie lagi.

'Tik apa khabar?
'Khabar baik ... lama inda(tidak) jumpa...apamacam..
'Beginilah Tik, Ah Tik masih ingat saya lagi ka?...
'Mana boleh lupa ....Sekarang kau sudah jadi pegawai ka...
Tidak la Tik, Kerja biasa ja....

Kami terus sembang ...sambil minum Cola, macam-macam juga cerita kami sambil Ah Chai adik kepada Ah Tik senyum dan sekali-sekala mendengar perbualan kami. Ah Chai memang pemalu tapi hensem macam pelakon Hong Kong.

Dijadikan cerita, Ah Tik masih seperti dulu, begitu juga Ah Chai. Ah Tik dengan fesyen seluar pendeknya, tanpa baju ... perutnya juga seperti dulu. Besar. Tapi sedikit kurus.

Susunan barang dikedainya tetap sama, rak, kaunter, lokasi bagi jenis-jenis barangannya juga sama. Pendek kata Ah Tik dan Kedainya terlalu hampir sama seperti kali terakhir aku belajar di Labuan ,1993. 15 tahun dulu. Yang berubah cuma anak-anaknya sudah besar.

Agak terkilan juga dihati, kenapa Ah Tik tetap begitu, sekurang-kurangnya kedainya bertambah maju kah , lebih moden kah. Apakah kemajuan Labuan tidak menjanjikan apa-apa bagi Ah Tik. Kesian Ah Tik. Kami ramai yang telah berubah, sekurang-kurangnya ramai yang telah mendapat pekerjaan yang agak baik.

Mungkin anak-anak Ah Tik akan merubah keadaan Ah Tik.
Sopan santun Ah Tik dan keluarganya tetap jadi kenangan.

Kalau anda ingin tau, orang cina Labuanlah antara yang paling peramah, aku tau sebab semasa belajar merekalah banyak membantu aku, sekurang-kurangnya kini aku bolehlah hidup dengan gembira. Syukur. Bagi anak kampung seperti aku, ini adalah satu pencapaian.

Apa pun. Thanks Ah Tik nanti kita sembang lagi.

Merry X'Mas


Selamat Menyambut Hari Krismas dan Selamat Tahun Baru kepada semua kawan-kawan serta pembaca-pembaca blog durian Kuning.


Thursday, December 4, 2008

Siapa musuh, UMNO kah atau Perasuah kah...?

Musuh sebenar rakyat Malaysia ialah Perasuah .... bukan UMNO.
UMNO tidak rasuah tapi segelintir perasuah ada dalam UMNO.

ISA tidak kejam tapi pesalahlah yang kejam.
Tidak semua tahanan ISA bersalah, tapi cara mereka tentunya ada yang salah.

Malaysia bukan milik siapa-siapa, tapi Yang Maha Penciptalah Pemiliknya.
Kita langsung tidak layak memiliki, tapi kelayakkan kita hanyalah sebagai peminjam.

Berhentilah bertelagah .... hargailah kepelbagaian sebab kepelbagaian itu suatu anugerah.

Berhentilah jadi Pak Nujum tapi belajarlah dari sejarah....

Tiada siapa boleh menentukan apa berlaku hari esok, tapi kegagalan menilai semalamlah yang menjadikan esok itu buruk.

Ada apa di Bukit Bendera?


Bukit Bendera Kota Kinabalu mempunyai tarikannya tersendiri. Setiap petang pasti ada pengunjung dan pelancong asing mendatangi pelantar tinjauan di Bukit Bendera menikmati pemandangan bandar KK dan juga keindahan pemandangan ketika matahari terbenam.



Cuma yang kurang menariknya ialah laluan pejalan kaki yang kurang selamat. Hanya beberapa kaki disisi jalan raya yang banyak selekoh. Bagi yang biasa menggunakan jalan di sini pastinya dapat melihat ramai juga pelancong yang datang hanya dengan berjalan kaki selain menggunakan Bas Pelancong. Mungkin lebih elok rasanya kalau ruang pejalan kaki ini dinaik taraf dengan ruangan yang lebih luas dan berpagar agar keselesaan pengunjung, terutamanya bagi pejalan kaki dapat ditingkatkan malah keselamatan pengunjung lebih terjamin.

Tuesday, December 2, 2008

Aku miskin tidur...

Tidur hai tidur ...

Kadang-kadang rasa dengki juga pada kawan-kawan yang senang untuk tidur. 'Landing' ja kepala, terus poppppssss... kurrr...kurrrr....
Kata orang, siapa yang mudah tidur, rohnya ringan. Jadi roh aku beratlah pasal susah mau tidur. Apapun aku terus berharap agar aku boleh menikmati tidur.
Kalau dikira-kirakan satu hari hanya dapat tidur kurang 4 jam ja pasal susah mau 'Shutdown' enjin aku. Entah 'part' mana yang rosak, aku pun tidak tahu.
Mana tau ada orang faham makhluk bernama 'tidur' ni, 'share' lah dengan aku. Mungkin suatu hari nanti aku boleh jadi geng 'tidur'.

Tq.