Macamana mau mula aa..
K lah, sejak aku membeli rumah setahun yang lepas, kebetulan ruang belakang rumah tu kosong jadi timbul keghairahan untuk bercucuk tanam, hobi dari dulu ketika di kampung.
Pendek cerita, bertanam lah aku di belakang rumah tu, asal time gaji pergi lah aku menjengok nurseri melihat peralatan dan bibit tanaman yang diperlukan.
Projek pertama, menanam Cili Padi, terung dan di satu sudut aku menanam bunga-bunga dalam pasu.
Setiap pagi dan petang, pasti kebelakang rumah menyiram serta membersihkan kebun kecil tu. wah ... memang cukup menghiburkan apabila bibit-bibit tanaman mula nampak menghijau.
Begitulah hari-hari ku dibelakang rumah kalau ada kesempatan.
Tiba-tiba satu hari selepas pulang dari kerja luar pejabat, aku dapati banyak daun-daun yang telah menghijau mula rosak mungkin dimakan ulat mengikut jangkaan ku. Apa lagi bergegas ke kedai membeli penyembur serangga organik untuk mengatasi masalah tersebut. Tapi selang 2 hari daun dan batang terung cukup membimbangkan, macam tidak sihat saja kelihatannya. Puas jua aku berfikir kenapa, almaklumlah bukan petani pro. Waktu pagi dan petang tidak banyak serangga kelihatan mengganggu tanaman ku.
Suatu malam kira-kira jam 12 malam, ketika aku duduk sambil menghirup karbon dioksida (paham-paham ja la) ternampak seekor siput kecil merangkak dirumput. Tapi aku masih tidak menyangka siput kecil tu perosak tanamanku.
Malam esoknya aku mengambil keputusan membuat pemerhatian sekitar jam 2. pagi. Alahai..... punya banyak siput kecil tu kenduri di kebun ku..
Geram....... Apa lagi , operasi membuang siput kecil pun bermula jam 2.30 pagi malam itu juga . Hasil untuk malam pertama, sebanyak lebih 100 ekor siput kecil dapat ku rejamkan ke dinding simen longkang berhampiran. Terasa puas.
Esok malamnya pula, 70 lebih ekor dan seterusnya semakin menyusut sehinggalah daun tanamanku kembali menghijau.
Dipendekkan lagi cerita. Selepas kes siput kecil tu, aku berfikir :
oh.. rupanya .. tiada satu perkarapun apabila dilaksanakan berjalan tanpa cubaan dan halangan.
Dan lagi siput kecil tu tidak pernah salah, malah taat kepada Penciptanya, ialah mengikut nalurinya, dimana ada makanan disitu lah ia datang. Dan specialnyalagi ia hanya makan pada waktu malam ketika aku sedang tidur.
Jadi pengajaran pertama yang aku terima ialah :
1. Setiap perkara mesti ada halangan dan cubaan, dan tugas kita ialah untuk mengatasi cabaran dan halangan tersebut.
2. Kita mesti mengambilkira ruang masa, dan sentiasa berjaga-jaga kerana halangan dan cabaran boleh datang pada masa yang tidak kita jangka atau diluar waktu kawalan kita. Contohnya, siput kecil tu menyerang kebunku ketika aku mula syok untuk tidur iaitu ketika waktu malam sekitar jam 12 tgh mlm.
3. Jangan menyalahkan cabaran dan halangan yang datang tapi berusahalah untuk mengatasinya. Sebab sikap menyalahkan tidak akan pernah menyelesaikan masalah.
4. Itulah Ciptaan Maha Pencipta, Tidak satu perkara itu dijadikan sia-sia.
Tulah sedikit ringkasan pengenalan tentang Cikgu ku Taman Kecil diBelakang rumah ku.
Namun Kisah siput Kecil banyak lagi pengajaran yang boleh aku titipkan nanti.
No comments:
Post a Comment