Wednesday, November 5, 2008

Pak Lah Sebagai Bapa Pertanian Moden Malaysia

Terima Kasih Pak Lah.


Itulah perkataan yang seharusnya lahir dari sanubari setiap rakyat Malaysia. Paling tidak beliau adalah pemimpin kita dan tentunya disebalik pelbagai persepsi masyarakat Malaysia yang mungkin benar dan juga mungkin salah, ada kebaikan yang perlu kita hayati.


Pertama, Pak Lah telah menyedarkan kita tentang perlunya Rakyat Malaysia menghayati Modal Insan, kemampuan diri sebagai salah satu sumber dalam memperkayakan lagi negara kita. Mau tidak mau telah ramai antarakita telah bercakap atau sedang bercakap tentang Modal insan. Kita sudah mula ternampak keperluan dan potensi itu walaupun malangnya tidak begitu difahami oleh sesetengah dari kita. Perbincangan, perdebatan dan perencanaan perihal insan sebagai modal adalah satu kejayaan bagi beliau, sekurang-kurangnya untuk mengorak langkah pertama yang lebih drastik. Umum mengetahui bahawa hasil dari perencanaan pemikiran tentang modal insan tentunya tidak akan ternampak dalam setahun dua, namun kelak nanti, pada tahun-tahun mendatang pastinya kita akan nikmati hasilnya. Terima Kasih Pak Lah.


Kedua, Keinginan Pak Lah untuk membangunkan semula sektor pertanian dengan mengubah pandangan umum terhadap Sektor pertanian yang dulunya dilihat sebagai 'Low Class', kini pertanian sudah dilihat sebagai 'High Class' apabila Pak Lah melabel dan menjenamakannya melalui slogan 'Pertanian adalah suatu perniagaan'. Pertanian kini telah menjadi sebuah industri penting sebagai salah satu instrumen utama pembangunan Negara. Lebih dari itu, krisis peningkatan harga minyak yang mendadak baru-baru ini telah memberikan kita satu pengajaran yang amat berguna tentang satu isu keselamatan, iaitu 'Keselamatan Makanan'. Kalaulah rakyat kita terus mendukung aspirasi beliau seawal tahun 2004 tentunya kini kita akan lebih beruntung dan mungkin menjadi salah satu pengeluar makanan serantau malah keperingkat dunia pun kita boleh. Terima Kasih Pak Lah.


Ketiga, Lebih indah daripada itu, Pak Lah tidak hanya bercakap tentang pertanian sekadar melepas batuk ditangga, tapi turut mengisinya dengan pembangunan Teknologi Biologi, Biotek. Dan hari ini sepatutnya kita harus berbangga dengan perkembangan dan tambahan nilai yang wujud dengan cita-cita beliau ini. Kita telah mula dikenali sebagai pengeluar ubatan atau pharmasautical berasaskan Herba hasil kemajuan Teknologi Bio kita. Kita telah mula memasarkan produk kita keperingkat antarabangsa. Terima Kasih Pak Lah.


Keempat, Pak Lah bukan saja ghairah berbicara soal hasil teknologi pertanian malah turut membangunkan ruang pasaran baru iaitu dengan menerokai dan memperkemaskan potensi Industri Halal yang mana hari ini merupakan suatu pasaran yang bernilai berbillion ringgit dengan menubuhkan 'Halal Industry Development Corp. Sdn Bhd' bagi mempercepatkan proses pembangunan, penjenamaan dan pengurusan Industri Halal. Dengan mewujudkan standard yang lebih tinggi terhadap produk halal, kita berpotensi besar menjadi hub halal dunia. Terima Kasih Pak Lah.


Kelima,

Disamping merencana pembangunan instrumen baru sebagai tambahan kepada sumber pendapatan negara, Pak Lah turut tidak lupa untuk merencana pembangunan Luar Bandar dengan lebih tersusun mengikut potensi dengan melancarkan Pembangunan Kelompok mengikut Koridor. Pembangunan berimbang ini mampu mengagihkan peluang kepada semua korridor berkembang mengikut potensi masing-masing. Antara matlamat yang ternampak dalam perancangan ini ialah Pak Lah ingin mengatasi jurang pembangunan antara kawasan Urban dan Luar Bandar. Dan dengan cara ini penduduk luar bandar boleh turut serta bermain dalam sektor perniagaan, pelaburan malah pembangunan pertanian yang menjadi tunjang perencanaan dan impian Pak Lah. Dengan membenarkan rakyat atau kawasan terpinggir turut serta dalam arus pembangunan ekonomi, tentunya masyarakat akan lebih rasa berpeluang untuk menyumbang kepada kemajuan negara ini. Terima Kasih Pak Lah.


Itulah beberapa fakta yang cukup untuk kita terhutang budi kepada Paklah.


Soalnya, apakah Pak Lah patut dipersalahkan jika ianya tidak berjaya. Tentunya bukanlah salah Pak Lah sebagai pemimpin, tapi kesalahan itu harus ditanggung oleh para pelaksana, Mana YBnya, mana kementeriannya, mana pegawai kerajaannya, mana pengampu politiknya dan mana-mana ..


Justeru itu saya sebagai rakyat malaysia yang amat cintakan negara ini, kalaupun tidak terdengar oleh Pak Lah, ingin mengucapkan Terima Kasih Pak Lah. Semoga legasi yang Pak Lah tinggalkan bukan dinilai pada materinya tapi legasi yang dinilai dari segi semangat dan moralnya. Dan tidak salah kalau saya mengatakan, Pak Lah telah berjaya mengimbangi pembangunan dan kemodenan materi yang telah dicipta Oleh Tun Mahathir dengan pembangunan rohaniah dan akal yang cukup berharga. Dengan itu layaklah Pak Lah sebagai Bapa Pertanian Moden Malaysia seperti yang dicadangkan oleh salah seorang kawan.


Terima Kasih Pak Lah.


Terima Kasih.



No comments: